suria

Menabung untuk impian, jalan menuju kejayaan

Fatin (kiri) meraikan majlis graduasinya di UiTM Shah Alam. Manakala Wong (kanan) meluangkan masa di Putrajaya bersama dua anak perempuannya, Wong Wey Xuan, 5 dan Wong Wey Le, 1.

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Malaysia merealisasikan impian menjadi golongan profesional yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Melalui pinjaman pendidikan dan skim simpanannya, PTPTN bukan sahaja menyokong pelajar dalam perjalanan akademik, malah menggalakkan perancangan kewangan sejak awal usia bagi tujuan pendidikan tinggi melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Bagi Fatin Amirah Che Mat, 29, sokongan PTPTN menjadi pemangkin dalam membentuk laluan kerjayanya yang kini bekerja sebagai Pembangun Perisian di sebuah syarikat semikonduktor.

Beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) dalam Kejuruteraan Sistem Maklumat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, kampus Jasin selepas mendaftar pada 2016 dengan bantuan pinjaman PTPTN sebanyak RM10,000.

“PTPTN banyak membantu merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang profesional,” katanya.

Kini, perjalanan hidupnya seolah-olah lengkap apabila bukan sahaja membina kerjaya, malah merancang masa depan pendidikan anaknya.

Berbekalkan pengalaman sendiri, Fatin Amirah kini menyimpan melalui Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus di bawah produk simpanan PTPTN, selain yakin dengan skim simpanan yang dijamin kerajaan.

Beliau kini menyimpan RM1,000 dalam Simpan SSPN Prime untuk dirinya dan RM100 dalam Simpan SSPN Plus setiap bulan bagi anak perempuannya yang berusia 10 bulan, Falisya Ahmad Fakhrul Razie.

“Faedahnya menarik, ada pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen kompetitif serta perlindungan takaful yang memberi nilai tambah kepada pendeposit,” katanya.

Pendekatan itu mencerminkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa muda tentang kepentingan merancang pendidikan anak lebih awal.

“Ia membantu saya lebih berdisiplin dalam menyimpan dengan peruntukan bulanan tetap yang memberi ketenangan. Saya mahu anak saya melanjutkan pengajian tanpa beban hutang,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan ibu bapa untuk mula menyimpan walaupun dengan jumlah yang kecil dan menambah simpanan secara berperingkat.

Sementara itu, Pengurus Jualan Perubatan, Wong Kah Shin, 40, turut mengakui peranan PTPTN dalam menyokong perjalanan akademiknya.

Lulusan bioteknologi dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu menerima pinjaman PTPTN melebihi RM40,000 yang membolehkannya menamatkan pengajian dan membina kerjaya.

Kini, beliau mengaplikasikan prinsip yang sama untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anaknya. Wong menyimpan purata RM500 sebulan dalam akaun Simpan SSPN Prime untuk dua anak perempuannya dan memastikan setiap akaun mencapai RM8,000 setahun.

“Saya memilih skim ini kerana manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan dan pulangan dividen yang menarik. Ia juga mudah dipantau dan praktikal untuk perancangan jangka masa panjang,” katanya.

Tambahnya, skim Simpan SSPN itu selamat dan berisiko rendah kerana dijamin kerajaan.

“Berbanding simpanan biasa yang mudah dikeluarkan dan dibelanjakan, skim ini membantu kita kekal komited dengan matlamat kewangan,” jelasnya.

Selain manfaat simpanan dan insentif pelepasan taksiran cukai, Wong turut berkongsi pengalaman memenangi RM1,000 dalam Cabutan WOW! Simpan SSPN tahun lalu.

“Ia satu kejutan yang menyenangkan dan tambahan kepada dana pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memperuntukkan bajet khas untuk Simpan SSPN demi masa depan anak-anak.

“Mula menyimpan lebih awal dan manfaatkan kempen serta promosi PTPTN yang menawarkan kelebihan tambahan,” katanya.

Pengalaman Fatin Amirah dan Wong mencerminkan peranan PTPTN bukan sahaja sebagai penyedia bantuan kewangan kepada pelajar, tetapi juga rakan jangka panjang dalam perancangan kewangan untuk pendidikan keluarga.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah serta simpanan dijamin kerajaan.

Simpan SSPN Plus turut menyediakan enam pakej fleksibel iaitu Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam dan Berlian dengan komitmen bulanan antara RM30 hingga RM500 termasuk caruman takaful.

Ibu bapa juga boleh menikmati pelepasan cukai sehingga RM11,000 melalui Simpan SSPN Plus, iaitu RM8,000 untuk simpanan dan RM3,000 bagi caruman takaful, manakala skim pencen pula menawarkan pelepasan sehingga RM15,000.

Sebagai sebahagian daripada usaha inisiatif berterusan, PTPTN kini menganjurkan Cabutan Simpan SSPN 2026 dengan hadiah lumayan hampir RM1.4 juta kepada 954 pemenang sepanjang tahun sehingga 31 Disember.

Selain itu, pembukaan akaun dan penambahan deposit simpanan kini lebih mudah melalui aplikasi myPTPTN yang menjadikan urusan lebih mudah, cepat dan selamat.

Keseluruhannya, inisiatif ini mengukuhkan komitmen PTPTN dalam memperkasa individu di setiap peringkat umur daripada membuka akses pendidikan tinggi hingga membantu keluarga membina masa depan kewangan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang.

Artikel Lain