suria

Dekat rak lebih murah, depan kaunter terus naik harga! Ketahui hak anda sebelum kena ‘ketuk’ dengan peniaga

Peniaga perlu pamerkan tanda harga yang betul pada setiap barang dijual. -Gambar hiasan AI

ISU perbezaan harga di rak pameran dan semasa membuat pembayaran kembali mencetuskan perhatian ramai selepas tular satu perkongsian di media sosial mengenai pengalaman seorang pelanggan di sebuah premis makanan.

Menurut individu itu, dia tertarik untuk membeli sejenis pencuci mulut selepas melihat tanda harga RM20 yang dipamerkan, lalu terus mengambilnya tanpa ragu-ragu kerana menyangka itulah harga sebenar.

Namun, situasi berubah apabila dia dikejutkan dengan caj RM25 sebaik tiba di kaunter pembayaran, sekali gus menimbulkan kekeliruan terhadap harga sebenar yang dikenakan.

Apabila perkara itu diajukan kepada staf bertugas, pelanggan tersebut mendakwa dimaklumkan bahawa tanda harga RM20 yang dipamerkan itu merupakan harga lama dan belum dikemas kini.

Menerusi perkongsian tersebut, wanita berkenaan turut berkongsi resit bayaran menunjukkan dia dikenakan caj RM25 bagi satu bekas pencuci mulut yang dibeli.

Lebih mengundang kecewa, tanda harga berkenaan didakwa terus ditanggalkan sejurus isu tersebut ditegur sekali gus membangkitkan persoalan mengenai ketelusan pihak premis dalam memaparkan harga kepada pelanggan.

Walaupun perbezaan RM5 mungkin dilihat kecil, namun perkara itu tetap memberi kesan dan menimbulkan rasa tidak puas hati bagi pengguna yang berbelanja mengikut bajet.

Susulan kejadian itu, individu berkenaan memaklumkan bahawa isu tersebut sudah mendapat perhatian pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan siasatan dijangka akan dijalankan.

Apa hak pengguna dalam situasi ini?

Dalam keadaan melibatkan perbezaan harga, pengguna berhak mendapatkan harga yang lebih rendah seperti dipamerkan di rak.

Ketetapan ini selaras dengan garis panduan dikongsikan oleh KPDN bagi memastikan pengguna tidak terkeliru atau teraniaya akibat maklumat harga tidak tepat.

Perkara ini dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Cara buat aduan jika berdepan situasi sama

Sekiranya berdepan situasi serupa, pengguna disarankan untuk menyimpan bukti seperti gambar tanda harga atau resit bayaran sebagai rujukan.

Selain itu, catat maklumat premis dan waktu kejadian bagi memudahkan proses semakan dilakukan.

Aduan boleh dikemukakan menerusi portal e-Aduan KPDN di laman rasmi kementerian bagi melaporkan isu kepenggunaan seperti perbezaan harga, caj tidak munasabah atau ketidakpatuhan peniaga.

Platform sama juga boleh digunakan untuk pertanyaan, cadangan penambahbaikan serta laporan berkaitan integriti pegawai KPDN yang terlibat.

Artikel Lain