Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja ketika kita memandu, tanpa diduga walaupun dalam keadaan berhati-hati. -Gambar hiasan AI
RAMAI beranggapan kita akan sentiasa berada dalam keadaan selamat selagi memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang.Namun realitinya, risiko di jalan raya bukan hanya bergantung kepada diri sendiri, sebaliknya turut dipengaruhi oleh sikap pengguna jalan raya lain. Dalam satu situasi yang dikongsikan, seorang wanita berdepan pengalaman pahit apabila kenderaannya dilanggar oleh pemandu yang tidak mempunyai insurans kenderaan.Walaupun kemalangan tersebut bukan berpunca daripadanya, dia terpaksa menggunakan perlindungan insurans sendiri untuk menampung kerugian.Keadaan itu secara langsung memberi kesan kepada NCD (No Claim Discount) miliknya apabila ia terpaksa ditolak akibat tuntutan insurans tersebut.Untuk mendapatkan semula tuntutan kerugian pula bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan proses perundangan seperti membawa kes ke mahkamah, melantik peguam dan menunggu dalam tempoh panjang.Situasi ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana sistem sedia ada benar-benar melindungi pengguna jalan raya yang tidak bersalah.Seorang wanita berkongsi keadaan keretanya selepas dilanggar individu yang tidak mempunyai insurans kenderaan. Menurut seorang peguam, mangsa masih mempunyai pilihan untuk menuntut kembali kerugian daripada pihak yang bersalah.Langkah yang boleh diambil adalah dengan membuat tuntutan melalui insurans sendiri terlebih dahulu bagi mempercepatkan proses pembaikan kenderaan. Selepas itu, mangsa boleh mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman semula pemandu yang melanggar.Bagi kes yang melibatkan jumlah kerugian tidak melebihi RM5,000, tuntutan boleh dibuat melalui prosedur tuntutan kecil (small claim) di mahkamah tanpa perlu melantik peguam. Proses ini lebih ringkas dan kosnya lebih rendah, namun tetap memerlukan kesabaran kerana ia bergantung kepada kerjasama pihak lawan serta tempoh pengurusan kes oleh mahkamah.Tindakan saman ini dilihat sebagai satu cara untuk memberi pengajaran kepada pemandu yang gagal menyediakan perlindungan insurans, selain memastikan mangsa mendapat kembali hak mereka.Selain itu, Carsome sebelum ini turut menjelaskan bahawa mangsa kemalangan dengan kenderaan tanpa insurans boleh mendapatkan bantuan melalui Motor Insurer Bureau of West Malaysia (MIB).MIB merupakan badan yang menyediakan pampasan kepada mangsa, namun hanya melibatkan kes kecederaan atau kehilangan nyawa dan tidak meliputi kerosakan kenderaan.Antara dokumen diperlukan untuk membuat tuntutan MIB:1. Surat tuntutan rasmi dengan penjelasan lengkap mengenai kemalangan serta jumlah ganti rugi2. Laporan polis3. Laporan polis daripada saksi4. Laporan kesihatan (jika berkaitan)Perkara penting yang perlu diketahui sebelum membuat tuntutan:1. Tuntutan boleh dibuat sendiri atau melalui peguam2. Nombor pendaftaran kenderaan pihak yang melanggar adalah wajib3. Tuntutan perlu dibuat dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kemalangan4. Pampasan hanya melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa, bukan kerosakan harta benda atau kenderaan5. Jumlah pampasan adalah tertakluk kepada keputusan MIBSebagai tambahan, pemohon juga perlu membayar fi sebanyak RM100 sebagai kos siasatan oleh pihak MIB. Perlu difahami bahawa proses tuntutan mungkin mengambil masa kerana polisi dan prosedur MIB boleh berubah dari semasa ke semasa.Oleh itu, mangsa disarankan untuk sentiasa membuat susulan dengan pihak MIB bagi mendapatkan perkembangan terkini status tuntutan mereka agar proses tidak terlepas pandang.