suria

Pembawa rezeki atau guna pelaris? Ada sebab kedai tiba-tiba ‘diserbu’ selepas kehadiran pelanggan pertama

Kedai dipenuhi pelanggan mudah menarik kehadiran lebih ramai untuk datang menjamu selera. -Gambar hiasan AI

DALAM dunia pemasaran dan tingkah laku pengguna, banyak perkara kelihatan seperti kebetulan sebenarnya mempunyai penjelasan dari sudut sains psikologi.

Tindakan manusia ketika membuat keputusan, termasuk memilih tempat makan atau membeli-belah, sering dipengaruhi faktor persekitaran serta tingkah laku orang lain tanpa disedari.

Perkongsian dibuat Perunding dan Perancang Strategi Pemasaran, Mu'azh Abdul Aziz di platform Threads menjelaskan satu fenomena yang kerap berlaku dalam kehidupan seharian, khususnya dalam konteks perniagaan makanan dan minuman.

Menurutnya, situasi sebuah kedai yang pada awalnya kosong kemudian menjadi tumpuan selepas kehadiran pelanggan pertama bukan berkait dengan unsur mistik seperti 'saka pelaris' atau 'pembawa rezeki'.

Sebaliknya, ia berkait rapat dengan konsep psikologi dikenali sebagai social proof dan herd mentality.

Manusia secara semula jadi merupakan makhluk sosial yang cenderung menilai sesuatu berdasarkan tindakan orang lain.

Apabila sesebuah kedai kelihatan kosong, minda akan mengaitkannya dengan risiko seperti kualiti makanan diragui, harga tidak berpatutan atau perkhidmatan kurang memuaskan.

Persepsi ini menyebabkan orang ramai lebih cenderung untuk mengelak atau tidak ‘berani’ masuk dan mencuba.

Namun, kehadiran pelanggan pertama mengubah persepsi tersebut.

Apabila ada individu masuk dan menikmati hidangan, keadaan itu secara tidak langsung memberi isyarat premis berkenaan selamat serta boleh dipercayai.

Situasi ini seterusnya mengurangkan risiko (perceived risk) dalam kalangan pelanggan lain, sekali gus mendorong lebih ramai untuk mencuba.

Fenomena ini turut dimanfaatkan pengusaha restoran melalui window seating strategy, iaitu meletakkan pelanggan pertama di kawasan mudah dilihat dari luar.

Pendekatan tersebut bertujuan menarik perhatian orang ramai selain memberi gambaran premis itu mendapat sambutan.

Secara keseluruhannya, situasi ini bukan kebetulan, sebaliknya hasil cara manusia berfikir dan membuat keputusan yang banyak dipengaruhi persekitaran sosial.

Artikel Lain