Pokok kelapa terjejas panas melampau (kiri) pulih selepas lima bulan penggunaan baja organik dan penggalak tumbuhan IWK (kanan).
PERTUBUHAN Perdagangan Dunia (WTO) dalam laporan terkini memaklumkan gangguan bekalan baja akibat ketegangan geopolitik Iran-Amerika Syarikat menimbulkan ancaman berganda terhadap keselamatan makanan global, iaitu pengurangan pengeluaran serta peningkatan harga.Ketegangan global yang berlaku ketika ini turut menjejaskan rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada sektor pertanian Malaysia, khususnya dari segi kekurangan baja. Selain itu, konflik berterusan di Timur Tengah serta sekatan eksport dari China menyebabkan kos dan ketersediaan baja menjadi semakin tidak menentu. Bagi petani Malaysia, kesannya dirasai serta-merta khususnya pekebun kecil.Semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 (DKMN 2030) pada Januari tahun ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Yusof menekankan kepentingan menangani cabaran ini."Apabila kos input meningkat, ia mencetuskan kesan domino, membawa kepada inflasi harga makanan global. Beban ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat. "Kebergantungan kita kepada rantaian bekalan luar menjadikan kita terdedah kepada kejutan ekonomi global," katanya.Situasi ini semakin ketara bagi bekalan baja di Malaysia.Krisis yang semakin meningkatMenurut laporan, Malaysia hanya mengeluarkan kira-kira 39 peratus daripada keperluan bajanya di dalam negara, sekali gus menyebabkan kebergantungan tinggi kepada import.Pada masa sama, China yang membekalkan satu pertiga daripada baja import Malaysia telah mengetatkan eksport bagi melindungi bekalan makanan domestik mereka.Lebih memburukkan keadaan, gangguan dalam laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu pertiga perdagangan baja global telah meningkatkan kos serta tempoh penghantaran.Di Malaysia, kesannya mula dirasai apabila pengeluar baja tempatan dilaporkan menghentikan tempahan baharu susulan kenaikan harga bahan mentah antara 100 hingga 150 peratus dalam tempoh beberapa minggu.Bagi petani sayur berskala besar, risikonya juga tinggi. Kebergantungan kepada baja import, khususnya bagi sistem fertigasi, menyebabkan mereka mudah terkesan apabila berlaku gangguan bekalan global.Ketegangan berterusan yang menjejaskan laluan utama seperti Selat Hormuz, ditambah dengan sekatan eksport China terhadap bahan seperti urea, nitrogen dan fosfat, terus memberi tekanan kepada kos bekalan serta pengeluaran.Bagi pekebun kecil pula, kesannya jauh lebih besar. Dengan margin keuntungan yang kecil, keluasan tanah terhad serta hasil yang rendah, mereka kurang berupaya menampung kenaikan kos atau gangguan bekalan.Sehubungan itu, akses berterusan kepada baja bukan sahaja penting, malah kritikal untuk kelangsungan mereka.Golongan pekebun kecil memerlukan pendekatan penyelesaian yang berbeza Syarikat besar mungkin berupaya menyerap kenaikan harga atau membeli secara pukal, namun pekebun kecil tidak mempunyai keupayaan yang sama. Justeru, pendekatan yang lebih cekap amat diperlukan bagi membantu mereka.Sebagai usaha ke arah itu, kajian penyelidikan pra-pengkomersilan yang dijalankan oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menunjukkan potensi penyelesaian dalam sektor pertanian.IWK merupakan syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), yang turut menjalankan penyelidikan melalui cabangnya, Indah Water Research Centre (IWRC), telah menunjukkan potensi penyelesaian dalam sektor pertanian.Kajian tersebut dijalankan untuk menilai keberkesanan baja organik IWK yang dihasilkan daripada biosolid hasil proses rawatan kumbahan. Ujian dijalankan ke atas empat tanaman landskap iaitu Vinca, Marigold, Japanese rose dan Petunia, serta empat tanaman makanan seperti okra, sawi hijau, terung dan keledek dalam persekitaran rumah hijau.Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dari segi pertumbuhan tanaman serta kualiti tanah. Baja berasaskan biosolid ini membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang diperlukan untuk perkembangan tanaman, sekali gus membuktikan ia selamat untuk kegunaan pertanian.Pokok kelapa sebelum penggunaan baja organik IWK dan penggalak tanaman IWK.Dalam percubaan berasingan di ladang kelapa, pokok yang terjejas akibat cuaca panas melampau mengalami tekanan teruk sehingga kelihatan merosot dengan ketara. Namun begitu, selepas penggunaan gabungan baja organik IWK dan penggalak tumbuhan IWK selama lima bulan, perubahan positif mula kelihatan.Pokok kelapa beransur pulih dengan pertumbuhan pelepah baharu, selain penghasilan buah yang kembali berlaku.Pokok kelapa selepas penggunaan baja organik IWK dan penggalak tanaman IWK.Satu lagi percubaan melibatkan rumput Napier, sejenis rumput yang cepat tumbuh dan digunakan secara meluas sebagai tanaman pelbagai guna. Percubaan ini menggunakan gabungan biosolid kering sebagai baja bersama penggalak tumbuhan IWK selama 15 bulan. Hasilnya menunjukkan pertumbuhan vegetatif yang sihat serta peningkatan ketara dalam pengeluaran biomas. Ini disumbangkan oleh kandungan nutrien penting dalam biosolid kering yang menyokong perkembangan tanaman dengan lebih baik.Gabungan Baja Organik IWK dengan Penggalak Tumbuhan IWK di Rumput Napier.Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, penyelesaian ini menunjukkan keupayaan baja organik IWK dalam membantu pekebun kecil serta meningkatkan ketahanan tanaman."Dalam satu ujian di ladang kelapa, baja IWK digunakan sekali setiap dua minggu dan ini telah mengurangkan kos pembelian baja daripada pembekal lain sebanyak kira-kira 68 peratus. "Ini merupakan kelebihan besar bagi petani yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil."Daripada bergantung kepada jumlah input konvensional yang tinggi, formulasi baja organik IWK memberi tumpuan kepada aplikasi nutrien yang lebih cekap bagi memaksimumkan keberkesanan setiap penggunaan," katanya.Bagi tanaman seperti kelapa dan rumput Napier, pendekatan ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada baja import, selain mengekalkan hasil tanaman dalam jangka panjang."Baja organik IWK direka untuk meningkatkan penyerapan nutrien serta keadaan tanah, membolehkan petani mencapai hasil setanding dengan penggunaan yang lebih rendah. Dalam pasaran yang tidak menentu, kecekapan ini amat penting," tambahnya.Baja organik IWK: alternatif kepada krisis yang kian meruncingDihasilkan daripada enap cemar kumbahan yang dirawat, baja organik IWK mengandungi kira-kira tujuh peratus unsur NPK (nitrogen, fosforus dan kalium), menjadikannya sesuai untuk memulihkan tanah serta membekalkan nutrien penting kepada tanaman.Fasiliti penghasilan baja organik IWK.Di samping bekalan nutrien, komposisi organik membantu mengimbangi semula keasidan tanah yang sering disebabkan oleh penggunaan baja kimia yang berpanjangan, menyokong ekosistem tanah lebih sihat dan pengeluaran tanaman yang lebih mampan dari masa ke semasa. Baja organik IWK telah menjalani analisis yang meluas untuk memastikan ia tidak mengandungi logam berat berbahaya atau bakteria patogen, bagi memastikan ia selamat untuk digunakan. Kajian toksikologi untuk Prosedur Naik Turun Ketoksikan Oral Akut (Acute Oral Toxicity Up-and Down Procedure - UDP) pada tikus oleh SIRIM juga tidak menunjukkan kesan negatif, mengesahkan keselamatannya untuk digunakan dalam tanaman tanpa risiko pencemaran. Di samping itu, Helaian Data Keselamatan Bahan (Material Safety Data Sheet - MSDS) telah dibangunkan untuk mendokumentasikan komposisi kimia tersebut, pengendalian langkah keselamatan, serta pematuhan peraturan alam sekitar dan kesihatan.Baja organik IWK dalam bentuk serbuk dan pelet.Yang lebih penting, baja IWK juga telah mendapat pengiktirafan Majlis Agama Kebangsaan. Pada mesyuarat kali ke-126 yang berlangsung dari 25 hingga 27 Februari 2025, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengkaji penggunaan biosolid daripada loji rawatan kumbahan sebagai sumber baja organik. Berikutan penilaian menyeluruh terhadap penemuan penyelidikan dan bukti teknikal, jawatankuasa membuat kesimpulan bahawa penggunaan baja organik berasaskan biosolid yang diperoleh daripada loji rawatan kumbahan adalah harus, dengan syarat ia terbukti selamat dan bermanfaat. Kedudukan ini diperkukuhkan lagi dengan Majlis Agama Islam Pahang yang mengeluarkan fatwa pada 2025 yang membenarkan penggunaan biosolid yang dihasilkan melalui proses rawatan kumbahan sebagai bahan penghasilan baja organik. Ini berdasarkan kelulusan awal daripada Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor masing-masing pada 2006, 2016 dan 2024, yang menunjukkan peningkatan pengiktirafan dan penerimaan.Hala tuju masa depanSeiring dengan ketidaktentuan global yang berterusan, perbincangan mengenai ketahanan makanan semakin menjadi keutamaan. Selain isu bekalan, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk memberi tumpuan kepada kelestarian jangka panjang, khususnya dalam memperkukuh penyelesaian yang dapat membantu petani kecil di Malaysia.Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dalam kenyataan terkini memaklumkan bahawa kerajaan sedang berusaha mengembangkan import baja melalui rundingan dengan negara pembekal sedia ada dan baharu. Kerajaan juga akan berusaha mengaktifkan saluran bekalan alternatif dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, sambil memastikan harga kekal kompetitif untuk meminimumkan tekanan.Narendran berkata, penyelesaian tempatan boleh memainkan peranan penting untuk menyokong cabaran yang semakin meningkat. "Buat masa ini IWK mampu mengeluarkan sehingga 4 hingga 5 tan baja organik dalam sehari, dengan potensi untuk lebih banyak pengeluaran baja di empat wilayah iaitu Utara, Tengah, Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia, bagi mengurangkan kos logistik dan menjadikannya lebih murah," katanya.Walaupun baja IWK belum diletakkan bagi memenuhi keperluan berskala besar oleh pemain utama industri perladangan, syarikat menawarkan alternatif yang bersesuaian untuk pekebun kecil. Ini melengkapkan usaha negara untuk mempelbagaikan bekalan dan membina daya tahan yang lebih besar dalam sektor pertanian. Tambah Narendran, inisiatif baja organik IWK mencerminkan arah tuju yang jelas dan berpotensi tinggi. "Ia menyokong pemuliharaan tanah dengan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia dan mengurangkan kos rawatan tanah jangka panjang. "Ia juga menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui kitar semula biosolid dan mengurangkan pelupusan di tapak pelupusan. "Malah, ia dapat memajukan ekonomi kitaran dengan mencipta nilai tambah daripada sisa kumbahan.Namun, adalah penting baja IWK ini boleh mendapat penerimaan awam," jelasnya lagi. Jadual di bawah menunjukkan perbandingan antara had parameter yang dibenarkan di bawah Piawaian Malaysia dengan parameter bagi Biosolid Kering IWK dan baja organik IWK.