suria

Anak emas nak kahwin tapi ‘peras’ duit adik-beradik... Mak minta RM5,000 seorang demi majlis gah si bongsu!

Konflik dalam keluarga lazimnya tercetus akibat perbezaan pendapat. -Gambar hiasan AI

DALAM sesebuah keluarga, perkahwinan anak bongsu sering dianggap sebagai penutup siri majlis kenduri, sekali gus mendorong ibu bapa untuk mengadakannya dengan lebih meriah.

Namun, keinginan itu kadangkala mengundang dilema apabila melibatkan soal kewangan, apatah lagi jika beban tersebut terpaksa dipikul oleh adik-beradik lain.

Situasi inilah yang dikongsikan oleh seorang wanita mengenai permintaan ibunya yang mahu mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran untuk adik bongsu mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin pening hadap saudara mara suka meminta-minta, tak ‘sponsor’ homestay kena perli di grup WhatsApp

ARTIKEL BERKAITAN: Adik gaji ‘basic’ tak sampai RM2,000 sibuk nak kahwin! Kakak geram ibu tak bantah, siap suruh ‘sponsor’ duit hantaran

"Adik bongsu saya seorang perempuan, nak kahwin awal bulan September. Jadi mak demand nak buat majlis dekat dewan. Kata dia ini last buat kenduri, jadi kena besar-besaran.

"Masalahnya nak minta sponsor duit RM5,000 seorang. Kira empat beradik, dapat RM20,000. 

"Yang tu termasuk pakej dewan, goodies, photographer, barang hantaran, nak tempah baju baru katanya tak nak sama dengan orang dan termasuk kos belanja untuk ke rumah lelaki iaitu dari Selangor ke Kelantan," kongsinya di Threads.

Ketika ini ramai pasangan memilih mengdakan majlis ringkas yang lebih 'intimate'. -Gambar hiasan AI

Tambah wanita itu, bapanya sudah meninggal dunia manakala ibu tidak bekerja, justeru segala kos diletakkan di atas bahunya dan adik-beradik lain.

"Saya cakap kalau nak kahwin, usaha sendiri. Kalau tak mampu buat besar, buat kecil-kecilan sudah.

"Masa saya kahwin lapan tahun lepas, mak kata nikah depan imam je la tak payah nak buat majlis. Jadi saya dan suami usaha 100 peratus tanpa minta duit sesiapa satu sen pun.

"Ini mentang-mentang anak kesayangan, bukan main besar majlis nak buat," ujarnya lagi.

Apa yang menyedihkan, ketika mengutarakan pendapatnya dan memaklumkan  kepada ibu tentang kekangan kewangan, dia malah dimarahi dan dituduh berkira dengan adik sendiri.

  • Seorang wanita dilema apabila ibunya mahu mengadakan majlis kahwin besar untuk adik bongsu.

  • Ibu meminta setiap adik-beradik menyumbang RM5,000 seorang.

  • Wanita itu tidak bersetuju kerana faktor kewangan, tambahan pula dia dahulu berkahwin tanpa bantuan keluarga.

  • Keengganannya menyebabkan dia dimarahi dan dituduh berkira oleh ibunya.

  • Warga maya menyokong pendiriannya namun ada menasihatkannya agar berbincang secara baik.

"Saya bukan kedekut cuma rasa kecil hati sikit. Mak marah-marah saya kata berkira. Siap kata lagi kenduri nanti jangan balik, jangan tunjuk muka.

"Kalau anda, ikut ke kehendak mak . Anak bongsu dia nak majlis besar. Masalahnya duit tak ada. Konon kahwin nak elak maksiat, masalahnya lebih kepada menyusahkan je," akhirinya.

Di ruangan komen, warga maya memberikan reaksi yang pelbagai namun rata-ratanya memahami situasinya kerana pernah berdepan pengalaman serupa.

Ada yang berpendapat dia berhak menolak permintaan tersebut kerana melibatkan kemampuan kewangan.

Dalam masa sama ada yang memintanya menjelaskan situasi dengan baik untuk mengelakkan konflik keluarga.

Artikel Lain