suria

Gigi tercabut, tangan kiri patah! Pemilik gerai mati dibunuh, adik tergamam temukan mayat hanya berseluar dalam

Mayat kes bunuh akan menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya. -Gambar hiasan

SEORANG pemilik gerai makanan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis di bilik tidur rumahnya, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Menurut pihak polis, mangsa yang menetap di Dusun Ciceuri, Jawa Barat, Indonesia ditemukan oleh adiknya sendiri kira-kira pukul 4.30 petang Isnin, selepas berasa curiga apabila tidak kelihatan sepanjang hari.

Ketua Perhubungan Awam Polis Cimahi, Inspektor Pertama Gofur Supangkat berkata, saksi mendapati rumah dan gerai mangsa berada dalam keadaan tertutup serta berkunci dari dalam.

"Sekitar pukul 4.30 petang, saksi berasa pelik kerana langsir masih tertutup dan mangsa tidak kelihatan langsung. Dia cuba masuk melalui pintu utama, namun berkunci," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, saksi kemudian mengambil keputusan untuk masuk melalui pintu di bahagian sisi rumah sebelum membuat pemeriksaan di dalam kediaman itu.

"Sebaik masuk ke bilik, saksi mendapati mangsa terlentang dengan muka ditutup menggunakan dua bantal.

"Apabila bantal dialihkan, saksi terkejut melihat keadaan mangsa yang mempunyai kesan luka di bahagian leher," jelasnya.

Difahamkan, ketika ditemukan, mangsa hanya memakai kemeja hitam dan seluar dalam.

Hasil pemeriksaan awal polis mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa yang dipercayai akibat unsur keganasan.

"Antara kecederaan dikenal pasti termasuk lebam pada badan, bibir pecah, gigi bawah tercabut serta pergelangan tangan kiri yang disyaki patah, selain lebam pada lengan dan kaki kiri," katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sartika Asih untuk proses bedah siasat.

Setakat ini, pihak polis masih menunggu laporan penuh perubatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, sementara siasatan lanjut sedang dijalankan. -Agensi

Artikel Lain