suria

20 kanak-kanak dikurung dalam bilik sempit pusat asuhan, tangan dan kaki terikat!

Little Aresha di Yogyakarta ditutup oleh pihak berkuasa susulan kes penderaan yang dilaporkan berlaku di pusat jagaan berkenaan. -Foto Agensi

KEJAM! Itulah perkataan yang boleh menggambarkan situasi di mana kira-kira 20 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan harian di didera oleh kakitangan institusi berkenaan.

Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak, kebanyakannya berusia bawah dua tahun terbaring di atas lantai dengan hanya memakai lampin pakai buang selain tangan dan kaki mereka terikat menggunakan kain.

Polis mengesahkan rakaman yang dirakam di pusat jagaan Little Aresha, Yogyakarta itu adalah tulen.

Ketua Polis bandar itu, Eva Guna Pandia berkata, serbuan dilakukan pada 24 April lalu selepas seorang bekas pekerja tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Ujarnya, polis menjumpai kira-kira 20 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik sempit berukuran hanya sepanjang tiga meter dan tiga meter lebar.

Susulan itu, pihak berkuasa Indonesia memberkas 13 individu termasuk penjaga, pengetua serta ketua yayasan yang mengendalikan pusat jagaan tersebut kerana dipercayai terlibat dalam kes penderaan.

"Pusat jagaan kanak-kanak itu menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak dan lebih separuh daripadanya dipercayai didera. Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya lagi. -Agensi

Artikel Lain