suria

Tuang petrol, cucuh api atas jalan... Gara-gara sambut ‘birthday' cara ekstrem, pengedar kereta diburu polis

Tular video seorang lelaki menuang petrol atas jalan dan mencucuhnya dengan api.

TINDAKAN seorang lelaki menyambut ulang tahun kelahiran dengan cara berbahaya mengundang perhatian ramai selepas videonya tular di media sosial.

Dalam klip tersebut, individu dikenali sebagai Fahad Sheikh didakwa menuang petrol membentuk angka '33' dipercayai sebagai simbol usia sempena hari lahirnya.

Dia kemudian menyalakannya menggunakan mancis sekali gus api menyambar petrol yang dituang di atas jalan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Somani Gram di Ram Mandir Road, Goregaon West, Mumbai.

Perbuatan berkenaan mencetuskan kemarahan penduduk setempat yang menyifatkannya sebagai tindakan melulu dan berbahaya.

Malah, beberapa laporan mendakwa aksi tersebut turut menyebabkan kerosakan pada jalan.

Menurut komen di laman sosial, lelaki terbabit dipercayai seorang pengedar kereta dari kawasan Jogeshwari West.

Susulan kejadian itu, pihak polis Mumbai dilaporkan telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti kesahihan video berkenaan.

Antara yang sedang disiasat termasuk identiti sebenar individu dalam rakaman, masa serta lokasi kejadian, selain tahap kerosakan yang didakwa berlaku.

Pihak berkuasa memaklumkan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan lengkap diperoleh. -Agensi

Artikel Lain