suria

Niat bercuti jadi tragedi ngeri... Wanita AS jadi mangsa nafsu serakah, ‘dikurung’ tanpa WiFi lepas dirogol

Hukuman berat menanti pesalah seksual. -Gambar hiasan

SEORANG wanita warga Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menjadi mangsa rogol ketika menginap di sebuah homestay.

Menurut laporan, mangsa yang berasal dari Washington sedang bercuti di sebuah homestay di sebuah kampung.

Dipercayai dia kemudiannya diberi minuman yang dicampur bahan memabukkan dan kemudian diserang.

Pihak polis memaklumkan dua individu ditahan berhubung kes tersebut, iaitu seorang tukang masak dan pemilik homestay berkenaan.

Lebih mengejutkan, pemilik homestay turut didakwa memutuskan sambungan WiFi mangsa selama tiga hari, dipercayai bagi menghalang mangsa daripada mendapatkan bantuan atau menghubungi pihak luar.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 21 April lalu di Karnataka, India.

Pegawai penyiasat berkata terdapat bukti awal menunjukkan pemilik penginapan cuba menyekat komunikasi mangsa, dan peranannya kini turut dalam siasatan.

“Mangsa akhirnya berjaya meninggalkan lokasi selepas tiga hari dan kemudian mendapatkan bantuan,” kata pihak polis.

Mangsa dilaporkan menghubungi Kedutaan Amerika Syarikat selepas insiden tersebut dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Mysuru.

Pihak berkuasa India berkata kes itu dibuka selepas menerima makluman daripada kedutaan AS, sebelum siasatan segera dijalankan.

Kedua-dua suspek kini ditahan dan direman bagi siasatan lanjut diteruskan. -Agensi

Artikel Lain