suria

Aliff Syukri diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Kadir Sheikh Fadzir

Aliff (kanan) diarahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Abdul Kadir.

USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman diarahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Roslan Mat Nor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu selepas memihak kepada Abdul Kadir dalam tuntutan berkaitan dakwaan hutang pelaburan berjumlah RM30 juta.

Selain pampasan, mahkamah turut menetapkan Aliff perlu menanggung kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Aliff turut menerima perintah injunksi.

Perintah injunksi juga dikeluarkan bagi menghalang usahawan berkenaan daripada terus mengeluarkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah sama ada secara sendiri atau melalui pihak lain.

Dalam masa sama, Hakim turut mengarahkan semua kandungan berkaitan yang pernah dimuat naik dipadam daripada platform media sosial dalam tempoh tujuh hari.

Bukan itu sahaja, Aliff juga perlu mengemukakan jaminan bertulis bahawa dia tidak akan mengulangi sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan reputasi plaintif.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada bukti rakaman perbualan, Aliff Syukri tak ‘goyang’ saman fitnah RM70 juta bekas menteri

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri menang saman fitnah, mahu heret bekas pembantu peribadi ke penjara

Untuk rekod, Abdul Kadir memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan tuntutan mencecah RM70 juta, mendakwa Aliff telah memfitnahnya melalui kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada 2 Julai 2023.

Kenyataan tersebut didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mempunyai hutang jutaan ringgit, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi negatif orang ramai.

Plaintif turut menuntut ganti rugi termasuk libel serta perintah mahkamah agar defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Dalam pembelaannya, Aliff mendakwa dia telah melabur RM30 juta melalui satu perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan beberapa pihak lain.

Usahawan terbabit juga mendakwa pelaburan tersebut tidak dipulangkan seperti dipersetujui serta terdapat pelanggaran terhadap syarat-syarat perjanjian berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain