suria

Janganlah kutuk Aishah! Perubahan vokal ikut usia perkara biasa - “Yang muda pun belum tentu boleh nyanyi lagu saya”

PENYANYI Datuk Aishah tidak melatah jika kemampuan nyanyiannya pada usia 61 tahun dibandingkan dengan persembahan ketika zaman muda.

Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin berkata, kritikan segelintir pihak yang membuat perbandingan terhadap kualiti vokalnya kini dengan awal pembabitannya dalam industri hiburan adalah sesuatu yang tidak realistik.

“Kadang-kadang orang terlalu kritikal tentang nyanyian saya, sedangkan yang muda-muda pun belum tentu boleh menyanyikan lagu saya.

Aishah percaya dia mempunyai keunikan lain pada masa usianya kini.

“Janganlah nak kutuk orang yang sudah berusia 61 tahun ini,” katanya kepada mStar.

Aishah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran konsert Aishah 40 Chapters of Love yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Menurut Aishah, perubahan suara adalah perkara semula jadi yang tidak dapat dielakkan apabila usia semakin meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis tiket ‘ghaib’, Aishah syak konsert ‘40 Chapters of Love’ kena sabotaj

ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan, politik, kecaman paling dahsyat... Aishah ‘throwback’ perjalanan 40 tahun jadi anak seni

Akui mungkin terdapat kekurangan daripada segi vokal, namun pengalaman serta kematangan dimiliki menjadi nilai tambah dalam penyampaian lagu.

“Secara realistiknya, tanyalah mana-mana guru vokal, sudah tentu suara akan berubah. Kita tak boleh jangka suara 40 tahun lepas akan kekal sampai sekarang.

“Pada usia 61 tahun ini, saya ada kematangan dan penghayatan yang lebih. Itu yang saya tak ada masa muda dulu.

“Sebagai contoh lagu Wajah, penghayatan saya sekarang sangat berbeza berbanding ketika umur 20-an dulu,” kongsinya.

Aishah bakal adakan konsert pada 4 Julai nanti.

Dalam pada itu, Aishah berharap peminat dapat memahami serta meraikan perubahan yang berlaku selari dengan perjalanan usia dan pengalaman hidup seseorang penyanyi.

“Mula-mula saya terasa juga bila orang cakap begitu. Tapi bila difikirkan semula, memang tak masuk akal. Mana ada orang umur 40 tahun akan sama seperti dulu.

“Saya harap peminat dapat menerima dan menghargai perbezaan ini. Tapi kalau ada nasihat yang baik, saya akan ambil,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain