suria

Menangis tiket ‘ghaib’, Aishah syak konsert ‘40 Chapters of Love’ kena sabotaj

Aishah kecewa peminat berdepan kesukaran untuk mendapatkan tiket konsert.

PENYANYI Datuk Aishah mendakwa jualan tiket untuk konsert 40 Chapters of Love yang dilancarkan menerusi satu platform pada 17 April lalu telah disabotaj.

Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 61, berkata dia hanya menyedari perkara itu selepas menerima aduan daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket walaupun sudah menunggu lama.

“Ketika mula-mula dapat tahu, saya menangis sebab kami dah bekerja keras untuk konsert ini terutama pihak pengurusan.

Aishah  menerima aduan daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket.

“Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan dan peminat yang berada dalam senarai kenalan, mereka gagal membeli tiket walaupun sudah beratur berjam-jam.

“Bila berjaya masuk, skrin paparkan notis tiket sudah habis dijual. Boleh dikatakan ia disabotaj,” katanya kepada mStar.

Aishah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran konsert berkenaan di Kuala Lumpur, pada petang Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan, politik, kecaman paling dahsyat... Aishah ‘throwback’ perjalanan 40 tahun jadi anak seni

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah dedikasi ‘Taman Keabadian’ buat peminat yang kehilangan insan tersayang

Menurut penyanyi itu, situasi berkenaan amat mengejutkan memandangkan konsert tersebut merupakan impiannya yang sudah lama dirancang.

“Bertahun saya simpan impian nak buat konsert, jadi bila perkara ini berlaku tentulah saya terkejut.

“Tapi saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah dan rahmat di sebaliknya,” ujarnya.

Bila berjaya masuk, skrin paparkan notis tiket sudah habis dijual.

DATUK AISHAH

PENYANYI

Dalam pada itu, Aishah tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur sabotaj, namun buat masa ini dia mahu memberi tumpuan kepada persiapan konsert terlebih dahulu.

“Kalau betul tiket habis, Alhamdulillah. Tetapi dalam kes ini, tiket sebenarnya masih ada.

“Kalau terbukti ada pihak yang sengaja lakukan perkara tidak bertanggungjawab sehingga boleh disaman, saya tahu apa tindakan yang perlu diambil,” luahnya.

Dalam masa sama, Aishah dan pihak pengurusan memilih untuk tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya fokus menyelesaikan kekeliruan dalam kalangan peminat.

Konsert Aishah 40 Chapters of Love bakal berlangsung pada 4 Julai depan.

Tambahnya, penjualan tiket kini telah dipindahkan ke platform lain bagi mengelakkan masalah sama berulang.

“Ramai hubungi saya tanya macam mana nak beli tiket sebab sistem tunjuk sudah habis. Sekarang penjualan sudah ditukar ke platform lain dan semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

Konsert Aishah 40 Chapters of Love dijadual berlangsung pada 4 Julai depan di Megastar Arena.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain