suria

Usah setia tak bertempat... Ini sebab kenapa anda kena tukar kerja setiap tiga tahun kalau nak kaya

Ramai yang bertukar kerjaya baharu untuk menaikkan tangga gaji. -Gambar hiasan AI

DALAM dunia pekerjaan hari ini, ramai mula mempersoalkan sama ada kesetiaan kepada satu syarikat masih relevan, terutama apabila melibatkan soal kenaikan gaji dan perkembangan kerjaya.

Jurulatih kerjaya, Farid Affy berpandangan bahawa pekerja wajar mempertimbangkan untuk menukar pekerjaan setiap dua hingga tiga tahun, khususnya jika mahu meningkatkan pendapatan dengan lebih cepat.

Menurutnya, pekerja yang kekal lama di syarikat sama lazimnya hanya menerima kenaikan gaji tahunan sekitar dua hingga lima peratus sahaja.

Namun, situasi berbeza jika seseorang berpindah ke syarikat lain kerana peluang kenaikan gaji boleh mencecah antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada pengalaman, kemahiran dan permintaan pasaran.

Farid menjelaskan, ramai pekerja terlalu 'setia' kepada majikan walaupun peningkatan gaji yang diterima tidak begitu signifikan.

Sebagai contoh, Farid menggambarkan situasi seorang pekerja bernama Abu yang memulakan kerjaya dengan gaji RM2,500.

Pertimbangkan dari segala sudut sebelum bercadang untuk tukar kerja. -Gambar hiasan

Jika Abu kekal di syarikat sama dan menerima kenaikan tahunan sebanyak lima peratus kerana prestasi kerja yang baik, selepas empat tahun gajinya hanya meningkat kepada sekitar RM3,038.

Namun, jika Abu memilih untuk menukar tempat kerja selepas dua tahun dan memperoleh kenaikan gaji sebanyak 10 peratus, jumlah pendapatannya pada tahun ketiga sudah mencecah sekitar RM3,031.

Menurut Farid, perbezaan itu menunjukkan bahawa pertukaran kerja boleh menjadi strategi lebih pantas untuk meningkatkan nilai gaji berbanding kekal terlalu lama di satu organisasi.

Farid turut mengingatkan pekerja agar tidak terlalu terkejut sekiranya majikan menawarkan tawaran balas (counter-offer) selepas menerima notis peletakan jawatan.

Katanya, ada pekerja yang memilih untuk menerima counter-offer tersebut.

Namun berdasarkan rekod yang pernah dilihatnya, sekitar 80 peratus individu yang menerima counter-offer akhirnya tetap meletakkan jawatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas itu.

Justeru, Farid mempersoalkan sama ada konsep loyalti (kesetiaan) kepada syarikat masih sesuai digunakan dalam suasana pekerjaan masa kini.

Menurutnya, jika seseorang selesa dengan kenaikan tahunan sekitar dua hingga lima peratus, mereka boleh terus kekal di syarikat sama.

Namun bagi mereka yang mahu meningkatkan pendapatan dengan lebih cepat, pertukaran atau terma sinonim dalam kalangan kita adalah 'lompat' kerja mungkin menjadi pilihan lebih praktikal.

Di ruangan komen, doktor gigi, Dr Khairul Anwar Sanusi pula berpendapat nasihat tersebut hanya sesuai untuk individu yang benar-benar berprestasi tinggi (high performing person).

Menurutnya, pertukaran kerja lebih relevan jika seseorang bekerja dengan baik tetapi tidak dihargai oleh syarikat, selain mempunyai banyak pilihan lain di luar sana.

Dr Khairul turut menegaskan bahawa pekerja yang bekerja sekadar ala kadar dan mudah digantikan perlu menilai semula kemampuan diri sebelum mengambil keputusan untuk berpindah kerja.

Artikel Lain