suria

“Minum sikit pun dah mabuk!” – Ayat sindiran bawa padah, abang maut ditikam adik kandung depan kawan-kawan

Hukuman berat menanti pesalah jenayah bunuh. -Gambar hiasan

KATA-KATA sindiran ketika mabuk membawa padah apabila seorang lelaki maut ditikam adik kandungnya sendiri pada 25 April lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun dilaporkan sedang minum bersama adiknya lelaki berusia 18 tahun, serta beberapa rakan di hadapan rumah sebelum tercetus pertengkaran.

Difahamkan, insiden bermula apabila mangsa menyindir adiknya yang didakwa tidak tahan meminum minuman keras dengan ayat... minum sikit pun sudah mabuk.

Hal itu sekali gus mencetuskan kemarahan suspek.

Kejadian tragis itu berlaku di Dadapsari, Utara Semarang di Jawa Tengah, Indonesia.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Semarang, AKBP Andika Dharma Sena, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol kemudian hilang kawalan sebelum masuk ke dalam rumah untuk mengambil pisau dapur.

“Suspek kembali dan menikam mangsa dari arah belakang di hadapan rakan-rakan mereka,” katanya.

Mangsa yang parah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak serta kecederaan pada organ dalaman.

Susulan kejadian itu, suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sumber minuman keras yang diminum kumpulan terbabit.

Kes disiasat mengikut kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan. -Agensi

 

Artikel Lain