suria

[V] Imam terlupa mandi wajib, sah ke solat makmum? Ini penjelasan hukum yang ramai nak tahu

Salah satu syarat sah solat ialah suci daripada hadas (kecil dan besar). -Gambar hiasan AI

MANDI wajib merupakan syarat utama yang perlu dipenuhi bagi individu yang berada dalam keadaan hadas besar sebelum menunaikan ibadah, khususnya solat.

Namun sebagai manusia biasa, ada kalanya seseorang boleh terlupa untuk mandi junub, lalu terus bersolat tanpa menyedari dirinya masih belum bersuci sepenuhnya.

Situasi ini pastinya menimbulkan kerisauan, apatah lagi jika ia melibatkan seorang imam yang memimpin solat berjemaah di masjid atau surau.

Persoalannya, adakah solat makmum di belakang imam tersebut dianggap sah?

Memetik perkongsian Masjid Kampung Nakhoda menerusi satu perkongsian di TikTok [Tonton Video], solat makmum tetap sah walaupun imam didapati berada dalam keadaan hadas besar.

Penjelasan itu merujuk kepada kitab Qaulutam Fi Ahkam Makmum Al Imam yang menghuraikan hukum berkaitan perkara tersebut.

"Jika imam membuat perkara yang sulit contohnya seperti tak mandi wajib, tak ambil wuduk, tidak niat... maka, solat para makmum di belakang adalah sah," katanya.

Bagaimanapun, imam berkenaan wajib mengulangi semula solat yang telah dilakukan kerana ibadah tersebut tidak sah untuk dirinya sendiri.

Perkara sama turut dihuraikan oleh pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus dalam satu kuliah Maghrib.

Menurut Azhar, solat imam sahaja yang terbatal kerana tidak memenuhi syarat taharah atau kesucian menjadi syarat sah solat.

Tambahnya, jika perkara itu berlaku, imam tidak perlu membuat pengumuman kepada makmum mengenai keadaan tersebut.

"Jangan bagitahu makmum. Jangan buat. Sebab ada beberapa kes dia buat pengumuman. Jangan umum," katanya.

Sebaliknya, imam tersebut perlu segera mandi wajib, menunaikan semula solat di rumah dan mengelakkan sebarang fitnah.

Artikel Lain