suria

[V] Sah tapi makruh! Ustaz Jafri pesan jaga adab ketika menghadap Allah, jangan biar bahu terdedah masa solat

Pakaian yang dikenakan ketika solat perlu dalam keadaan bersih daripada kotoran. -Gambar hiasan AI

MENUTUP aurat dengan sempurna merupakan tuntutan dalam Islam, khususnya ketika menunaikan solat yang menjadi kewajipan setiap umat Muslim.

Dalam melaksanakan solat, terdapat 13 rukun yang perlu dipatuhi bagi memastikan ibadah tersebut sah dan diterima Allah SWT. 

Selain itu, umat Islam juga dituntut untuk sentiasa memperbaiki kualiti solat, termasuk dari segi bacaan, sebutan serta pemahaman hukum-hakam berkaitan.

Namun, tidak dapat dinafikan dalam kehidupan seharian ada dalam kalangan masyarakat yang pernah menyaksikan individu, khususnya lelaki, mendirikan solat tanpa memakai baju. 

Situasi ini sekali gus menimbulkan persoalan tentang kesahihan dan hukum perbuatan tersebut.

Terbaharu, pendakwah bebas, Ustaz Jafri Mahmoodi tampil memberikan penjelasan berhubung isu itu menerusi satu perkongsian video [Tonton Video].

Menurut ustaz Jafri, antara syarat sah solat bagi lelaki adalah dengan menutup aurat dari pusat hingga ke lutut.

"Kalau dia tutup macam tu (pusat ke lutut) saja, dah sah solat dia. Cuma afdalnya dia menutup juga bahu dia.

"Sabda Nabi SAW, jangan seorang kamu mengerjakan solat sedangkan tidak ada sehelai kain yang menutup pada bahagian bahunya.

"Kata Imam Nawawi, perkataan (sabda) Nabi SAW ini bukanlah larangan yang berbentuk haram tetapi larangan bentuk mahkruh," jelasnya.

Tambah ustaz Jafri, Rasulullah SAW juga pernah berpesan kepada seorang sahabat, jika hanya mempunyai sehelai kain, maka kain tersebut hendaklah diselubungkan dari bahu sehingga menutup aurat.

Jelasnya lagi, panduan itu menunjukkan keutamaan menutup bahagian atas badan sekiranya berkemampuan, meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

Kesimpulannya, solat lelaki tanpa memakai baju tetap sah selagi aurat antara pusat dan lutut ditutup namun hukumnya adalah makruh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar umat Islam sentiasa menjaga adab dan kesempurnaan dalam beribadah dengan memakai pakaian yang lebih sopan dan sesuai ketika menunaikan solat.

Artikel Lain