Orang Islam dibenarkan untuk solat jamak dan qasar ketika bermusafir sebagai keringanan rukhsah. -Gambar hiasan AI
ISU memilih laluan perjalanan sering nampak remeh, namun bagi umat Islam yang bermusafir, ia boleh memberi kesan kepada hukum solat jamak dan qasar.Secara asasnya, solat lima waktu wajib ditunaikan, tetapi Islam menyediakan rukhsah (kemudahan atau keringanan) dalam keadaan tertentu seperti sakit atau bermusafir. Bagi musafir, keringanan jamak dan qasar dibolehkan jika jarak perjalanan melebihi dua marhalah (sekitar 81 kilometer).Namun timbul persoalan bagaimana jika seseorang itu sengaja memilih jalan yang lebih jauh sedangkan ada laluan lebih dekat, hanya untuk cukupkan syarat bagi mendapatkan rukhsah.Pendakwah bebas Ustaz Jafri Mahmoodi menjelaskan, situasi ini memang berlaku dalam kalangan masyarakat.Menurutnya, jika seseorang dengan sengaja memilih laluan yang lebih jauh semata-mata untuk membolehkan dia melakukan solat jamak dan qasar, sedangkan ada jalan lebih dekat yang tidak cukup dua marhalah, maka ia tidak dibenarkan.Ini kerana tujuan utama memilih laluan tersebut hanyalah untuk mendapatkan keringanan, bukan atas keperluan sebenar perjalanan.Berbeza pula jika laluan jauh itu dipilih atas sebab tertentu yang munasabah seperti menziarahi saudara-mara, beli barang keperluan, laluan mudah dan lancar, elak kesesakan jalan kampung atau menjimatkan kos tol dan minyak.Dalam keadaan ini, perjalanan tersebut dianggap ada tujuan yang jelas dan bukan semata-mata untuk mendapatkan rukhsah.Jadi, individu tersebut dibolehkan untuk melakukan solat jamak dan qasar.Penjelasan sama turut dikongsikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam situasi melibatkan dua pilihan laluan, iaitu lebih dekat atau melebihi 81 kilometer.Menurutnya, penentuan hukum bergantung kepada niat serta tujuan seseorang memilih jalan tersebut.Sekiranya laluan jauh dipilih atas faktor keperluan seperti lebih mudah, selamat atau mempunyai urusan tertentu, maka dibolehkan untuk melakukan solat qasar.Namun, jika laluan itu sengaja dipilih semata-mata untuk melayakkan diri mendapat rukhsah, maka keringanan tersebut tidak terpakai.