suria

Bahang El-Nino tanda peringatan Allah mahu manusia bertaubat - “Istighfar jadi sebab turunnya hujan dan terbuka pintu rezeki”

Fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini mengakibatkan keadaan cuaca panas dan kering. -Gambar hiasan

BAHANG panas yang kian terasa bukan sekadar perubahan cuaca biasa, bahkan petanda awal kepada gelombang haba luar biasa yang dijangka melanda Malaysia dan juga dunia.

Kenyataan pakar klimatologi dan perubahan iklim negara, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang (Felo Akademi Sains Malaysia) memberi amaran bahawa tahun 2026 berpotensi mencatat suhu paling panas dalam sejarah susulan fenomena El-Nino serta kesan pemanasan global.

Ramalan Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat turut menguatkan jangkaan tersebut apabila fenomena ini dijangka bermula pertengahan tahun, memuncak hujung tahun dan berlanjutan hingga awal 2027.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam duduk dalam ketuhar! Cuaca ‘panas lit lit’ di Kedah bukan misteri, kena tahu fasal ‘continental effect’ dan poket haba

Realiti ini bukan lagi isu jauh atau sekadar perbincangan saintifik, sebaliknya ancaman nyata yang sedang menghampiri kehidupan seharian. Suhu yang boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius, cuaca kering berpanjangan serta penurunan taburan hujan bakal memberi kesan besar kepada sumber air, kesihatan awam dan keselamatan makanan negara.

El-Nino berlaku apabila suhu permukaan laut di Lautan Pasifik meningkat melebihi paras normal sehingga mengganggu sistem atmosfera global.

Kesan fenomena ini membawa kepada kemarau, kebakaran hutan dan jerebu, selain menjejaskan hasil pertanian serta bekalan air. Paras empangan yang menurun dan tanah yang semakin kering menjadi gambaran jelas bahawa keseimbangan alam sedang tergugat.

Tanda peringatan

Hakikat ini menuntut renungan lebih mendalam bahawa perubahan alam bukan sekadar fenomena fizikal, bahkan suatu isyarat dan petanda peringatan yang mengandungi mesej Ilahi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. - (Surah al-Rum: 41)

Al-Quran telah menegaskan bahawa kerosakan yang berlaku di darat dan laut berpunca daripada perbuatan manusia, agar manusia kembali kepada jalan yang benar. Penegasan ini memberi makna bahawa krisis iklim bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi berkait dengan dimensi moral dan spiritual manusia.

Aktiviti harian seperti persekolahan turut terjejas akibat cuaca panas yang boleh memudaratkan kesihatan. -Gambar hiasan

Ketidakseimbangan alam sering berpunca daripada sikap melampaui batas dalam mengurus sumber. Pembangunan tanpa kawalan, pencemaran berterusan serta budaya pembaziran menjadi antara penyumbang utama kepada perubahan iklim.

Dalam keghairahan mengejar kemajuan, nilai amanah sebagai khalifah sering terpinggir, sedangkan tanggungjawab tersebut menuntut pemeliharaan bumi sebagai amanah Ilahi.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. - (Surah al-A‘raf: 96).

Al-Quran turut menjelaskan bahawa keberkatan dari langit dan bumi dikaitkan dengan keimanan dan ketakwaan. Kehilangan keberkatan membuka ruang kepada kesempitan hidup termasuk krisis cuaca yang melampau. Justeru, fenomena El-Niño boleh dilihat sebagai peringatan agar manusia kembali memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Pada masa yang sama, fenomena ini juga merupakan ujian kehidupan. Kepanasan melampau, kekurangan air dan tekanan terhadap sumber makanan merupakan sebahagian daripada ujian yang menguji kesabaran dan keimanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan; dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar.”  - (Surah al-Baqarah: 155).

Al-Quran telah menjanjikan bahawa setiap ujian mengandungi hikmah, dan orang yang sabar akan memperoleh ganjaran yang besar.

Sabar dan memperbaiki keadaan

Kesabaran dalam konteks ini bukan sekadar bertahan, tetapi disertai usaha memperbaiki keadaan serta meningkatkan kebergantungan kepada Allah SWT. Sejarah umat terdahulu menunjukkan bahawa kemarau sering menjadi titik perubahan ke arah taubat dan pembaikan akhlak.

Peranan manusia sebagai khalifah menuntut tindakan yang lebih daripada sekadar kesedaran. Pengurusan sumber air secara berhemah, pengurangan pembaziran, pemeliharaan hutan dan penggunaan tenaga secara lestari perlu dijadikan budaya. Setiap tindakan kecil seperti menjimatkan air dan mengurangkan sisa mempunyai kesan besar apabila dilaksanakan secara kolektif.

Larangan pembaziran dalam Islam memperlihatkan betapa pentingnya keseimbangan dalam penggunaan sumber. Sikap berlebihan bukan sahaja merosakkan alam, bahkan mencerminkan kegagalan memahami tanggungjawab sebagai khalifah.

Pada peringkat negara, usaha mitigasi perlu diperkukuh melalui pengurusan empangan yang cekap, pembangunan teknologi pertanian tahan kemarau serta sistem amaran awal yang berkesan. Dasar pembangunan lestari perlu diberi keutamaan bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian alam.

Amalan solat sunat  istisqa’

Namun, usaha fizikal sahaja tidak mencukupi tanpa pengukuhan dimensi dan sudut spiritual. Islam menyediakan pendekatan rohani melalui amalan seperti istighfar, taubat dan solat sunat istisqa’ ketika berlakunya kemarau.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Nabi SAW keluar dalam keadaan tawaduk (merendah diri), memakai pakaian yang kasar, khusyuk, berjalan perlahan-lahan dan tunduk patuh (menyerah diri kepada-Nya). Kemudian Baginda mendirikan solat dua rakaat sebagaimana Baginda solat hari raya tetapi Baginda tidak menyampaikan khutbah sebagaimana khutbah kamu ini.” -  (Riwayat Riwayat Ahmad, no,3321); Abu Daud, no.1165; al-Tirmizi, no.558; al-Nasa’I, no.2521 dan Ibn Majah, no.1266).

Prof Madya Dr Azri Bhar (kiri) dan Dr Nik Airin Aqmar Nik Azhar.

Nabi SAW menunjukkan teladan dengan melaksanakan solat sunat istisqa’ dalam keadaan penuh tawaduk, sebagai tanda pengakuan bahawa manusia bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu.” - (Surah Nuh: 10-11).

Al-Quran telah menjelaskan bahawa istighfar menjadi sebab turunnya hujan dan terbukanya pintu rezeki. Hubungan antara amalan spiritual dan keseimbangan alam menunjukkan bahawa krisis iklim tidak boleh dipisahkan daripada keadaan rohani masyarakat.

Ujian kesedaran

Fenomena El-Nino paling panas yang dijangka berlaku bukan sekadar ujian suhu, tetapi ujian kesedaran. Setiap gelombang panas membawa persoalan tentang sejauh mana manusia memelihara amanah terhadap alam dan memperbaiki hubungan dengan Pencipta.

Kesedaran ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang menyeluruh. Gabungan antara ikhtiar saintifik dan kekuatan spiritual menjadi kunci dalam menghadapi cabaran ini. Pengurusan sumber yang cekap perlu seiring dengan penghayatan nilai taubat, kesederhanaan dan tanggungjawab.

Gelombang panas yang mendatang bukan sekadar ancaman, tetapi peluang untuk melakukan perubahan. Krisis ini membuka ruang muhasabah agar manusia kembali kepada fitrah sebagai hamba dan khalifah.

Harapan terletak pada kesungguhan memperbaiki diri dan komitmen kolektif dalam memelihara alam supaya keseimbangan kembali terpelihara dan kehidupan terus dinaungi keberkatan Ilahi.

Daripada: Prof. Madya Dr Azri Bhar (Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA) dan  Dr. Nik Airin Aqmar Nik Azhar (Pensyarah, Kolej Islam Antarabangsa).

Artikel Lain