SETIAP kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, suasana malam pasti lebih meriah dengan bunyi dentuman mercun dan bunga api yang menerangi langit. Bagi sesetengah orang, mercun menjadi ‘pelengkap’ suasana raya. Namun di sebalik kemeriahan itu, timbul persoalan, apakah hukum sebenar bermain mercun dalam Islam?Isu ini menjadi perhatian di Threads selepas pengendali akaun Majlis Agama Islam Negeri Sembilan berkongsi maklumat yang mengundang perbincangan ramai.“Hard truth: Benda yang kita tunggu setiap kali raya, sebenarnya haram. Kita anggap menjual dan bermain mercun ini ‘memeriahkan suasana’.“Kita kena tahu juga, ia dah difatwakan haram misalnya di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, malah di negara-negara lain seperti Mesir, Jordan, Yaman & Palestin.“Bukan sebab nak rosakkan mood raya, tapi sebab mudaratnya jelas. Bahaya, membazir dan paling tak boleh terima, ganggu orang lain. Kadang kita kena jujur, tak semua yang meriah itu berkat,” tulis pengendali akaun @majlisagamaislamns.Perkongsian tersebut membuka ruang kepada perbincangan lebih luas, iaitu adakah semua jenis mercun diharamkan, atau hanya yang berbahaya?Memetik penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum bermain mercun pada asalnya adalah haram, terutamanya jika ia membawa kepada kemudaratan.Ini termasuk risiko kecederaan, kebakaran, serta gangguan kepada orang lain, yang mana semua ini jelas bertentangan dengan prinsip syarak iaitu menolak kemudaratan.Namun ketika ini terdapat beberapa jenis mercun yang dianggap tidak berbahaya seperti pop-pop dan happy boom. Jadi, adakah ia juga termasuk dalam hukum haram?Menurut syarak, hukum asal bagi sesuatu permainan yang tidak memudaratkan adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:“Asal sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang melarang.”Bermain bunga api bertujuan untuk hiburan tidak dianggap membazir jika tidak berlebihan. -Gambar hiasan AIIsu pembaziran: Perbezaan pandangan ulamaDalam mazhab Syafii, terdapat dua pandangan berkaitan hukum membeli barangan semata-mata untuk keseronokan:• Sebahagian ulama menganggapnya sebagai pembaziran.• Sebahagian lain pula berpendapat ia tidak dianggap membazir.Namun, pendapat yang lebih kuat menyatakan bahawa membeli sesuatu untuk tujuan hiburan tidak dianggap pembaziran selagi tidak berlebihan.Syarat keharusan bermain mercunWalaupun mercun yang tidak berbahaya diharuskan, ia tetap tertakluk kepada beberapa syarat penting:• Disahkan tidak membahayakan oleh pihak berkuasa.• Tidak berbelanja secara berlebihan hingga terpaksa berhutang.• Tidak mengganggu jiran tetangga.• Kanak-kanak bermain di bawah pengawasan orang dewasa.Kesimpulannya, hukum bermain mercun yang berbahaya kekal diharamkan kerana mudaratnya jelas, manakala yang tidak membahayakan diharuskan dengan syarat-syarat yang dinyatakan tadi.Dalam meraikan Aidilfitri, umat Islam disarankan untuk menilai semula setiap amalan kerana tidak semua yang nampak meriah itu membawa keberkatan.