suria

Ramai mak ayah buat silap, sesuka hati ‘gabung’ duit raya anak... Isu remeh tapi boleh jatuh haram!

Duit raya termasuk sebagai hak atau harta milik anak-anak yang perlu diuruskan ibu bapa dengan baik. -Gambar hiasan AI

HAMPIR seminggu umat Islam meraikan Aidilfitri pastinya golongan kanak-kanak paling gembira kerana dapat mengumpul duit raya daripada ibu bapa, keluarga dan sanak-saudara.

Ketika ini pasti ramai yang sibuk mengira jumlah diperoleh dan tidak kurang juga menyerahkan semuanya ke tangan ibu bapa untuk dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing sebagai simpanan.

Namun timbul persoalan tentang cara terbaik menguruskan wang berkenaan lebih-lebih lagi apabila melibatkan mereka yang masih di bawah umur.

Isu ini tiba-tiba menjadi perbincangan hangat di media sosial selepas seorang wanita mengajukan soalan berkaitan pembahagian duit raya dua orang anaknya yang masih kecil. 

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah senyum tengok anak dapat banyak duit raya... Jangan gelap mata, haram guna sesuka hati

"Duit raya anak-anak. Seorang empat tahun, seorang 11 bulan. Mak dah tak dapat nak asing. Boleh tak kira je semua dan bahagi dua?" demikian tulis wanita berkenaan di laman Threads.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ramai berpendapat tindakan tersebut tidak wajar kerana melibatkan hak setiap anak.

Ibu bapa sebagai pemegang amanah

Mengulas isu ini, pendakwah bebas, PU Syed menjelaskan pada asasnya, harta anak-anak yang masih di bawah umur berada di bawah tanggungjawab ibu bapa sebagai pemegang amanah.

Menurut Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak, ibu bapa berperanan mentadbir harta tersebut sehingga anak-anak mampu menguruskan sendiri.

"Kalau anak ini di bawah umur, menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai pemegang atau pentadbir harta anak sehinggalah anak boleh memegang atau mentadbir harta sendiri," jelasnya kepada mStar.

Antara kaedah yang dikongsikan warga maya untuk mengasingkan duit raya setiap anak mereka. -Gambar media sosial

Bagaimanapun, beliau tidak menolak terdapat situasi tertentu yang membolehkan duit raya anak-anak digabungkan.

"Jika ibu bapa yakin setiap anak menerima jumlah yang sama, kemudian duit itu digabungkan (kemudian bahagi sama rata) , maka tiada masalah," katanya.

Namun, perkara perlu diberi perhatian ialah kemungkinan jumlah diterima setiap anak tidak sama.

Menurutnya, jika duit raya digabungkan tanpa mengetahui jumlah sebenar setiap anak, ia boleh menimbulkan isu ketidakadilan.

"Kalau jumlah tak sama, kemudian kita gabungkan, maknanya kita telah ambil hak anak lain dan berikan tanpa persetujuannya," ujarnya.

Tambahnya, mendapatkan persetujuan juga bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila melibatkan anak-anak masih kecil dan belum mampu membuat keputusan.

Tidak sah dari sudut persetujuan

Mengulas lanjut, beliau turut mengaitkan perkara itu dengan prinsip dalam pengurusan harta, termasuk dalam konteks undang-undang harta pusaka.

Katanya, kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak boleh memberikan persetujuan yang sah terhadap sesuatu keputusan melibatkan harta mereka.

"Kalau anak-anak belum mumaiyiz, kita tak boleh ambil keabsahan daripada mereka kerana mereka belum layak memberi keputusan," jelasnya lagi.

Elak ketidakadilan dalam pembahagian

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tindakan menggabungkan dan membahagikan duit raya secara sama rata pada asasnya tidak dibenarkan jika jumlah asal yang diterima setiap anak berbeza.

"Kalau semua sama, tiada masalah. Tetapi jika jumlah tidak sama, maka telah berlaku ketidakadilan dalam pengurusan tersebut," katanya.

Kesimpulannya, walaupun nampak remeh, isu duit raya anak-anak sebenarnya melibatkan amanah dan keadilan yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa dalam menguruskan hak anak masing-masing.

Artikel Lain