suria

Berani panggil ‘ayang’, cuba sentuh tangan! Pakcik van 68 tahun bukan hanya hantar surat, siap ajak ronda karnival sukan sekolah

Surat luahan pemandu van sekolah kepada seorang kanak-kanak berusia 12 tahun. - Gambar hiasan AI (kanan)

PENDEDAHAN seorang bapa mengenai tindakan pemandu van sekolah berusia 68 tahun yang mengganggu anak perempuannya ternyata jauh lebih serius daripada sekadar kiriman 'surat cinta'.

Menerusi pendedahan terbaharu, warga emas itu didakwa bukan sahaja menghantar surat luahan perasaan, malah mula bertindak berani dengan memanggil kanak-kanak berusia 12 tahun itu dengan panggilan 'ayang' serta cuba menyentuh tangannya.

"Anak terima surat selepas saya dah beri peringatan kepadanya untuk jauhkan diri daripada pemandu itu.

"Pemandu tu mula mengatakan ayat tidak menyenangkan seperti memanggil ‘ayang’, nak ikut jalan-jalan bersama di karnival sukan sekolah dan ada cubaan menyentuh tangan.

"Dia juga beritahu anak saya supaya jangan cerita kepada parent," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Awak tetap dalam hati acik” - Bapa meradang pemandu van umur 68 tahun hantar ‘surat cinta’ kepada anak perempuan darjah enam!

Lebih membimbangkan, pemandu warga emas itu juga dikatakan berulang kali mendesak mangsa untuk memberikan nombor telefon peribadi dengan alasan mahu menghubungi kanak-kanak itu pada setiap malam.

Walaupun laporan polis telah dibuat, si bapa meluahkan rasa gusar apabila mendapati pelaku masih bebas berkeliaran dan menjalankan kerja seperti biasa di kawasan sekolah.

"Kes masih dalam siasatan polis dan pelaku hanya dilepas tanpa bebas. Diharapkan ada tindakan tegas kepada pelaku. 

"Cuma yang merisaukan apabila pelaku masih lagi boleh bekerja, selalu berada di kawasan sekolah dan anak saya masih terdedah kepada bahaya.

"Bukan sahaja anak saya, tapi kemungkinan kanak-kanak lain juga," katanya lagi.

Susulan kejadian traumatik ini, dia menitipkan pesanan buat ibu bapa lain agar tidak memandang remeh aspek keselamatan anak-anak, terutamanya ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan sekolah.

Dalam masa sama dia menekankan agar ibu bapa sentiasa mendidik anak-anak tentang perbualan dan sentuhan selamat ketika berada di sekolah.

"Hati-hati kepada semua ibu bapa yang menggunakan khidmat van dan bas sekolah, ajar mereka tentang sentuhan dan perbualan selamat. Jangan mudah percaya orang.

"Selalulah bertanya perihal anak-anak di sekolah. Semoga mereka semua dilindungi Allah daripada syaitan bertopengkan manusia seperti ini," katanya.

mStar pada Isnin melaporkan seorang bapa kini diselubungi kebimbangan selepas anak perempuannya menerima surat luahan perasaan daripada seorang pemandu van sekolah berusia 68 tahun.

Bukan sekadar surat, malah kanak-kanak itu turut dihujani pelbagai kata-kata yang membuatkan dia berasa sangat takut dan trauma setiap kali terserempak dengan lelaki warga emas tersebut.

Artikel Lain