SEORANG penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa atas pertuduhan membunuh gadis berusia 19 tahun iaitu Nurfisya Zulkifly pada 30 April lalu.Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh, Kelantan.Perbuatan itu dilakukan antara 30 April pukul 11.40 malam hingga 12.20 tengah malam pada 1 Mei lalu.ARTIKEL BERKAITAN: Empat suspek termasuk dua warga emas direman, bantu siasatan kes gadis ditikam 61 kaliMuhammad Hazim didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob dengan dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri.Tertuduh pula diwakili peguam, Mohd Alias Ibrahim.Terdahulu, Wan Azimah memohon satu tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar.Mahkamah menetapkan 2 Julai sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.Sebelum ini dilaporkan, mayat Nurfisya ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Nurfisya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditemui di lokasi terbabit.