suria

Tragis! Pinggang belakang terburai dirempuh kenderaan, lelaki ditemukan maut dalam longkang

Mangsa ditemukan di dalam longkang berkedalaman dua meter.

SEORANG lelaki maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Kapar Batu 5, Klang, Selangor awal pagi Rabu.

Mangsa yang tercampak ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan pinggang belakangnya dilaporkan terburai.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 3.23 pagi.

Menurut beliau, mangsa pada awalnya dipercayai berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berkenaan.

Susulan itu katanya, sepasukan tujuh anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 30-an berada di dalam longkang itu akibat dirempuh sebuah kenderaan.

"Mangsa yang tercampak itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya pada Rabu.

Tambah Ahmad Mukhlis, mayat mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan alat pengusung.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati, insiden terbabit berlaku sekitar pukul 3 pagi apabila sebuah SUV berwarna hitam yang bergerak terus dari arah Klang ke Kapar hilang kawalan lalu merempuh mangsa di bahu jalan.

Tambah beliau, rempuhan tersebut mengakibatkan mangsa yang merupakan pejalan kaki tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Susulan itu beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Vijaya berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

Artikel Lain