suria

Nenek tidur di bawah, cucu jemput lelaki ‘panjat’ tingkat atas! Pasangan muda bakal menikah ditangkap khalwat

Dalam Islam, lelaki dan wanita bukan mahram dilarang berdua-duaan atau berkhalwat kerana ia adalah salah satu dosa besar. -Gambar hiasan

BERBAKI beberapa minggu sahaja lagi sebelum diijabkabulkan, namun impian murni pasangan berusia lingkungan 20-an ini tercalar apabila mereka dicekup berkhalwat dalam satu serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Johor Bahru, awal pagi Rabu.

Serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 2.30 pagi itu dilakukan susulan aduan orang awam yang curiga dengan aktiviti di kediaman berkenaan.

"Penguat kuasa mengetuk pintu selama 15 minit namun masih belum dibuka. 

"Ketika penguat kuasa memberi amaran untuk memecahkan tombol pintu, tiba-tiba pintu dibuka oleh seorang wanita yang memakai baju kelawar," kata JAINJ dalam kenyataan di laman sosial pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan tunang ditangkap khalwat di rumah, ambil kesempatan berasmara ketika ibu balik kampung

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang warga emas, yang merupakan nenek kepada wanita berkenaan sedang tidur di atas katil di ruang tamu.

"Wanita itu memberitahu dia bersama neneknya sahaja di dalam rumah dan tiada orang lain.

"Penguat kuasa melakukan pemeriksaan di dua bilik yang terletak di tingkat atas. Bilik pertama adalah bilik wanita ini yang didapati tiada orang lain.

"Bilik kedua pula kelihatan seperti tidak dihuni. Bagaimanapun ditemui siling yang sebahagiannya sudah rabak dan jatuh terkopak," ujarnya.

Penguat kuasa kemudian membuat pemeriksaan di atas bahagian syiling tersebut sebelum menemui seorang lelaki sedang bersembunyi dalam keadaan mencangkung.

"Dia yang berpakaian seluar panjang dan t-shirt diarahkan turun. Hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri.

"Rumah tersebut adalah rumah nenek wanita berkenaan. 

"Lelaki tersebut berumur 20-an, masih bujang dan bekerja di Johor Bahru. Wanita pula berumur 20-an, juga belum berkahwin dan berniaga online sambilan dari rumah.

"Pasangan ini juga bakal bernikah beberapa minggu lagi. Menurut pengadu, lelaki tersebut banyak kali datang sehingga akhirnya pengadu membuat aduan," menurut kenyataan itu.

Tambah JAINJ, pasangan tersebut ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana disyaki berkhalwat.

Artikel Lain