suria

[V] Pekerja p-hailing kritikal dirempuh pemandu Bezza mabuk lawan arus - “Dia sedang cari rezeki halal”

Kemalangan menyebabkan seorang penunggang motosikal tercampak dan mengalami kecederaan parah.

TINDAKAN seorang lelaki memandu yang dipercayai dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer membawa padah apabila dia akhirnya merempuh seorang penunggang motosikal di Persiaran Kota, Klang, Selangor, pada Rabu malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an tercampak selepas dirempuh dan mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan termasuk kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu suspek lelaki berusia 30-an itu bergerak dari arah Pelabuhan Klang menuju ke Shah Alam sebelum dipercayai dipandu secara melulu dan memasuki laluan bertentangan.

"Hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta tersebut positif alkohol. Suspek ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut dan permohonan reman diperolehi daripada Majistret Klang, Azilah Mat sehingga Jumaat (15 Mei) untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara minimum tujuh tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 sehingga RM50,000 selain penggantungan lesen memandu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Lim, mangsa kini menerima rawatan kritikal di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala suspek hanya mengalami luka ringan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, insiden berkenaan turut dikongsikan di Threads oleh seorang pengguna dikenali sebagai Dinieshaaziz yang memohon orang ramai membantu menularkan kes tersebut agar mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurut wanita itu, mangsa merupakan sepupunya yang bekerja sebagai penghantar barang.

"Cousin saya, seorang rider Lalamove yang sedang mencari rezeki halal, dilanggar oleh pemandu mabuk yang memandu lawan arus di Klang. 

"Hancur hati kami melihat orang yang tidak bersalah menjadi mangsa kecuaian orang lain. Kami merayu agar kes ini mendapat perhatian dan keadilan yang sewajarnya. Kami mahukan keadilan.

"Mohon jasa baik semua untuk viralkan kes ini supaya cousin saya mendapat pembelaan dan keadilan yang sepatutnya. Terima kasih atas doa dan sokongan semua," tulisnya.

Artikel Lain