Muhammad Fakrul Aiman didapati bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di ladang kelapa sawit di Sungai Besar, Selangor tiga tahun lalu.
BEKAS penuntut universiti yang didapati bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di ladang kelapa sawit di Sungai Besar, Selangor tiga tahun lalu, terlepas hukuman gantung sehingga mati.Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis yang menggantikan hukuman tersebut kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan. Keputusan sebulat suara terhadap Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mei 2023.Semasa membacakan keputusan sebulat suara itu, Azman berkata mahkamah mengambil kira usia muda perayu ketika kejadian, iaitu 20 tahun.Selain itu, beliau berkata, wujud pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023."Oleh itu mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan," katanya.ARTIKEL BERKAITAN: Tikam, toreh perut, bakar kekasih hamil... Lelaki didakwa bunuhTerdahulu sewaktu hujahan, peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh berkata, hukuman gantung yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang adalah terlalu berat memandangkan anak guamnya baru berusia 20 tahun empat bulan ketika kejadian berlaku.Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berhujah hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi adalah setimpal dengan kekejaman jenayah dilakukan.Di Bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah mempunyai budi bicara sama ada mengekalkan hukuman gantung sampai mati atau menggantikannya dengan penjara antara 30 hingga 40 tahun.Bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun yang tidak dijatuhi hukuman mati, mahkamah boleh mengenakan hukuman 12 sebatan.Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengaku bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil, Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Sabak Bernam pada 2023.Hakim Norazlin Othman membuat keputusan itu selepas Muhammad Fakrul Aiman mengekalkan pengakuan bersalahnya.Dalam penghakimannya, Norazlin berkata, selepas mengambil kira keseriusan perbuatan disifatkan sebagai kejam dan hakikat kes itu menjurus kepada jenayah dirancang, ia memerlukan satu hukuman berat.Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara pukul 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi, 23 Mei 2023.