suria

Budak lelaki 2 tahun kritikal jatuh dari tingkat lima flat... Mangsa panjat sofa tepi tingkap ruang tamu

Perkara yang tidak diingini boleh berlaku sekiranya anak-anak dibiarkan tanpa pengawasan ibu bapa. -Gambar hiasan AI

SEORANG kanak-kanak lelaki berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah flat di Bandar Uda Utama, Johor Bahru, pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang hampir berusia tiga tahun kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap sebuah unit kediaman di flat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja 13 tahun maut terjatuh flat… Ditemukan masih berbaju sukan, berkasut hitam

Menurut beliau, sebelum kejadian mangsa dipercayai memanjat sofa yang terletak berhampiran tingkap ruang tamu.

Keadaan tingkap itu sedikit terbuka serta tidak berkunci.

"Mangsa kemudian ditemukan terbaring di kawasan parkir blok berkenaan dengan kecederaan pada bahagian kepala dan leher selain mengalami pendarahan dalaman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, polis tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut buat masa ini kerana siasatan masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

Artikel Lain