suria

Pasangan tunang ditangkap khalwat di rumah, ambil kesempatan berasmara ketika ibu balik kampung

Pasangan bukan mahram dilarang kerana dibimbangi membuka ruang kepada perbuatan yang tidak diingini. -Gambar hiasan

DEK penangan darah manis, seorang wanita dicekup bersama tunangnya gara-gara membawa lelaki tersebut pulang bermalam di rumah ketika ketiadaan ibunya. 

Menerusi serbuan yang dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi Ahad, pasangan berkenaan ditahan di sebuah rumah teres di Johor Bahru, susulan maklumat daripada orang awam mengenai keadaan mencurigakan di kediaman berkenaan.

"Ketika tiba, keadaan luar dan dalam rumah gelap menyebabkan penguat kuasa mengetuk pintu berulang kali sambil memberikan amaran.

"Dua anggota ditempatkan di pintu belakang bagi mengelakkan cubaan melarikan diri.

"Selepas lebih 15 minit, ketika amaran untuk memotong mangga dikeluarkan, pintu belakang tiba-tiba terbuka dan seorang lelaki cuba meloloskan diri sebelum terpaksa berpatah balik apabila mendapati pintu belakang sudah dikawal," kata JAINJ dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai kanan kementerian didakwa khalwat direhatkan serta merta

Menurutnya, seorang wanita berpakaian lengkap kemudian membuka pintu utama rumah. 

"Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang juga berpakaian lengkap tetapi jelas kelihatan cemas," menurutnya.

Pemeriksaan di bilik wanita berkenaan pula menemukan beberapa keadaan  mencurigakan, yang menimbulkan syak wujud perlakuan yang melanggar batas syarak sebelum serbuan dilakukan

"Gebar di atas katil didapati bergulung, bantal jatuh ke lantai dan keseluruhan katil kelihatan tidak terurus seperti baru digunakan," ujarnya.

Siasatan mendapati pasangan berusia lingkungan 20-an itu sudah bertunang, dan ketika kejadian ibu wanita tersebut dikatakan pulang ke kampung atas urusan keluarga.

"Mereka mengaku sudah bertunang dan dijangka berkahwin tahun hadapan, namun menyalahanggap pertunangan sebagai lesen untuk berdua-duaan tanpa pengawasan," ujarnya. 

Tambah JAINJ, pasangan tersebut ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana disyaki berkhalwat.

 

Artikel Lain