SEORANG pegawai kanan di sebuah kementerian direhatkan serta merta berikutan dakwaan salah laku.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan terhadap tuduhan berkenaan dijalankan tanpa sebarang gangguan.
"Saya mengambil maklum berkenaan satu kes tuduhan salah laku melibatkan pegawai kanan di sebuah kementerian.
"Oleh yang demikian, pegawai akan direhatkan serta merta sementara siasatan salah laku dimulakan segera," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Shamsul menegaskan bahawa sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah, tindakan tatatertib akan dikenakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran tatakelola atau salah laku yang melibatkan pegawai awam.
Terdahulu, tular sebuah klip video berdurasi 11 saat di media sosial yang mendakwa seorang ketua setiausaha di kementerian tersebut ditahan pihak berkuasa agama kerana disyaki terlibat dengan perbuatan khalwat di Kota Kinabalu, Sabah.


