KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil sejenis suplemen yang dibeli dalam talian (online).
Dalam satu kenyataan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) berkata siasatan awal mendapati produk terbabit mengandungi glutathione, iaitu bahan aktif yang disenaraikan di bawah senarai negatif Dokumen Panduan Pendaftaran Ubat (DRGD).
"Produk tersebut tidak mematuhi Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, yang melarang penambahan sebarang bahan yang tidak dibenarkan di bawah Akta atau mana-mana peraturan di bawahnya," menurut kenyataan itu pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket produk kosmetik tanpa kelulusan KKM tumpas, 3 suspek ditahan
Menurut BKKM, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta butiran produk yang terbabit.
Antara aspek yang disiasat termasuk pematuhan label, bahan-bahan digunakan, premis pengilangan, pengimport, serta pengedaran produk di pasaran tempatan.
"Kami juga sedang menjejaki sumber asal dakwaan tersebut untuk mengesahkan kesahihannya," tambah kenyataan itu.
Setakat ini, KKM berkata belum ada sebarang catatan di media sosial daripada ahli keluarga atau kenalan yang mengesahkan kematian seperti yang didakwa.
"Berdasarkan carian awal, tiada catatan media sosial daripada individu yang rapat dengan mangsa yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut," jelas kenyataan itu lagi.
Kementerian turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya menghubungi BKKM di talian 03-8885 0796 atau melalui e-mel [email protected] bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil suplemen berharga RM20 yang dibelinya secara online.


