suria

Sindiket produk kosmetik tanpa kelulusan KKM tumpas, 3 suspek ditahan

Produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama dirampas ketika serbuan. -Foto JIM

SATU sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas di Setapak, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor pada Khamis.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusuh berkata, operasi bermula pukul 12.15 tengah hari Khamis melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Selain itu turut disertai Pegawai Penguatkuasa (Farmasi) dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga buah premis dan menahan dalang utama iaitu seorang wanita warga Indonesia berusia 50an.

“Seterusnya, kita menahan seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia, berusia 25 dan 35 tahun dipercayai berperanan sebagai ‘promoter online’ produk kosmetik dan kecantikan”, katanya dalam kenyataan pada Ahad.

'Sarang' sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan yang ditumpaskan. -Foto JIM

Jelasnya, semakan awal mendapati dalang utama memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sahlaku, sementara promoter wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah dan suspek lelaki didapati tinggal lebih masa.

Sehubungan itu, pihaknya merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua naskah pasport Indonesia serta wang tunai sebanyak RM3,263 dan IDR3.271 juta.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian melalui ejen berharga RM159 setiap satu.

“Sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” jelasnya.

Kesemua warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Mereka juga akan disiasat oleh pihak KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Seorang lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain