suria

11 penjawat awam positif dadah, ditahan ketika asyik berpesta... Budak 17 tahun turut ditangkap

Kesemua suspek kini sedang menunggu perintah reman. -Gambar hiasan

POLIS menahan 11 penjawat awam selepas mereka didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata serbuan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada Ahad, antara 1 pagi hingga 10 pagi.

"Pemeriksaan kami mendapati pusat hiburan itu beroperasi melebihi masa yang dibenarkan, dan terdapat 49 orang di dalam premis itu sedang sibuk berpesta.

"Ujian air kencing mendapati 30 daripada mereka terdiri daripada 24 warga tempatan dan enam warga asing didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.

"Ini termasuk 11 penjawat awam lelaki berumur 24 hingga 49 tahun dan seorang budak bawah umur 17 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam umur 51 tahun ditahan SPRM gara-gara minta rasuah seks

Menurut Kumar, suspek terdiri daripada 24 lelaki dan enam wanita, semuanya berumur 17 hingga 52 tahun.

"Kami juga telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai penjaga premis itu," katanya sambil menambah siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui dari mana suspek mendapatkan dadah.

Kesemua suspek kini sedang menunggu perintah reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b), Seksyen 55B, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas lawatan mereka, mengupah pekerja asing tanpa permit dan memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Tempat Hiburan Johor kerana mengendalikan pusat hiburan melebihi masa dibenarkan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain