LAPAN pengikut kumpulan 'Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi' termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terbabit ajaran sesat.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, kesemua individu berusia 45 hingga 66 tahun ditahan pada Jumaat lalu, hasil serbuan ke atas bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, di Pulau Tawar, Jerantut.
Pelbagai dokumen bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah selain alatan dipercayai berunsur kurafat dirampas susulan penahanan tersebut.
Antaranya tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam, batu berlilit kain kuning, nota tertera 'solat jamak fardu seumur hidup', nota bertulis lafaz selawat beserta ikrar meragukan dan sebuah komputer riba.
Hasil siasatan awal, ketua kumpulan terbabit berusia 45 tahun berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut, manakala tujuh pengikutnya terdiri mereka yang bekerja sendiri dan pengganggur kebanyakan berasal dari luar Pahang yang turut tinggal bersama di premis berkenaan.
"Semua suspek ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan syariah tetapi polis sedang menyemak rekod jenayah mereka,"ujarnya dalam kenyataan.
Tambah Ahmad Khirrizal, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bila kegiatan itu wujud selain mengesan individu lain yang terbabit dengan kumpulan berkenaan.
Jelasnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013, namun dibebaskan pada Sabtu dengan jaminan pegawai penguat kuasa JAIP sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.


