SEORANG wanita berkongsi pengalaman tidak menyenangkan apabila didatangi seorang peminta derma yang berang selepas permintaannya ditolak secara berhemah.
Menurut wanita itu, kejadian berlaku ketika dia sedang menunggu makanan di sebuah kedai makan di Baling, Kedah sebelum didatangi seorang lelaki berjubah yang memintanya menyumbang derma sambil memberi penerangan panjang lebar.
“Saya hormati dia, jadi saya senyum dan hanya diam sambil dengar. Akhir sekali saya kata ‘tak apalah, terima kasih’.
"Tapi dia terus marah dan kata kalau tak mahu derma, patut beritahu awal-awal,” katanya.
Dia mengakui terkejut dengan reaksi peminta derma terbabit dan menahan diri daripada membalas kerana menghormati suasana di tempat awam.
“Saya senyum saja walaupun rasa tak puas hati. Kita dah minta maaf elok-elok pun masih boleh kena marah,” katanya menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video].
Berdasarkan video yang dikongsi, peminta derma itu tidak berpuas hati kerana wanita itu menolak untuk menderma.
"Kalau tak nak bagi beritahu, saya tak paksa. Cakap ja tiada, minta maaf dan saya boleh pergi. Cakap ja duit tak de," kata lelaki tersebut.
Sementara itu, seorang warga maya menyatakan peminta derma berkenaan adalah individu yang sama meminta derma di Changlun, Kedah dengan kaedah yang digunakan kurang menyenangkan.
"Sampai Baling dah, hari tu ada di Changlun. Dia buat kita macam serba salah tak bagi duit, cakap tu cakap ni. Bila tanya ada surat tak? Dia pula ceramah kat kita.
"Kami pun kena juga hari tu dia marah depan orang ramai," katanya.


