LELAKI yang menjadi tumpuan selepas mendakwa dia diperdaya hingga bergelar 'suami kedua' bertindak memadam hantaran awal di media sosial mengenai kes berkenaan yang tular minggu ini.
Dia yang dikenali sebagai Syed, berkata keputusan tersebut diambil selepas menerima nasihat pihak berkuasa selain memikirkan keselamatan ibunya.
Menurutnya, hantaran tersebut mencetuskan liputan meluas di media sosial dan portal berita, menyebabkan dia dinasihatkan untuk memadamkan semua hantaran.
“Saya memadam hantaran sebelum ini atas faktor keselamatan ibu saya.
"Pihak berkuasa juga meminta saya memadam semua hantaran supaya siasatan ke atas mereka berdua dapat dijalankan dengan lancar,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dakwa jadi ‘suami kedua’ janda anak 2, sempat kena ‘paw’ beli Axia! Patutlah nak PJJ sepanjang perkahwinan
Syed berkata walaupun dia memadam hantaran tersebut, kes itu tetap diteruskan di bawah enakmen jenayah syariah.
"Saya tidak akan sekali kali menarik laporan beserta bukti yang telah dikemukakan.
"Tujuan saya viralkan mereka kerana mahu netizen lebih waspada dengan kedua-dua invidu tersebut kerana mereka mempunyai rekod jenayah penipuan sebelum ini," katanya.
mStar pada Khamis melaporkan seorang lelaki bernama Syed dakwa menjadi mangsa penipuan selepas berkahwin dengan seorang wanita yang disangka ibu tunggal.
Syed berkenalan dengan wanita itu di grup Axia di Facebook dan berkahwin di Thailand selepas wanita itu mendakwa hamil anaknya.
Selepas kahwin, Syed mendapati wanita itu mempunyai suami dan mempunyai rekod polis kerana kes penipuan.


