KEJAM dan tidak berperikemanusiaan!
Itulah perkataan sesuai bagi menggambarkan aksi melampau seorang lelaki yang bertindak mengasari seekor beruk tanpa belas kasihan.
Menerusi perkongsian di Facebook Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM), kelihatan lelaki berkenaan seolah-olah mengagah sebelum haiwan tersebut menerpa untuk cuba menggigitnya.
Dengan pantas, lelaki tersebut mencengkam rantai besi pada leher haiwan itu dan terus mencekik, menghempas, menyeret dan menampar mukanya berkali-kali.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemain badminton profesional pukul anjing di balkoni mengaku salah, didenda RM25,000
Haiwan tersebut pada mulanya cuba melawan untuk mempertahankan diri, namun kemudian kelihatan tidak berupaya kerana kesakitan.
"Mu nok lagi… aku smackdown," kata pemuda dalam video berkenaan dalam dialek Kelantan.
Menurut SAFM, kejadian dipercayai berlaku di Kelantan.
"Kami mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara @perhilitan_malaysia untuk mengambil tindakan segera.
"SAFM menyeru saksi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini untuk tampil membantu siasatan.
"Kami juga ingin mengingatkan bahawa penganiayaan terhadap haiwan adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Berdasarkan Seksyen 86, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali," tulisnya.
SAFM menambah pihaknya akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.


