suria

Perkeso laksana 10 penambahbaikan besar... Perlindungan 24 jam, elaun mobiliti RM1,000 antara kebajikan kepada pencarum

Lebih 100 penyertaan daripada pelbagai organisasi media diterima bagi tujuh kategori Anugerah Media Perkeso 2025. -Foto CHAN TAK KONG/SMG

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan 10 penambahbaikan besar dalam tempoh dua tahun yang memberi kesan langsung terhadap kebajikan pencarum di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata penambahbaikan itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan di bawah prinsip 3K iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerjaan.

“Saya rasa bangga, kerana dalam masa hanya dua tahun kita telah melaksanakan pelbagai reformasi besar.

"Kalau dikira pencapaian Perkeso, ada yang kecil, ada yang besar tapi saya nak kira yang besar sahaja,” katanya pada Majlis Anugerah Media Perkeso 2025: I Lindung U di Mandarin Oriental pada Khamis malam.

Steven Sim memaklumkan dua Pusat Rehabilitasi Perkeso baharu telah dibuka masing-masing di Kuala Terengganu dan Masjid Tanah, Melaka. - Foto CHAN TAK KONG/SMGSteven Sim memaklumkan dua Pusat Rehabilitasi Perkeso baharu telah dibuka masing-masing di Kuala Terengganu dan Masjid Tanah, Melaka. - Foto CHAN TAK KONG/SMG

Steven Sim kemudian memperincikan 10 penambahbaikan utama yang dilaksanakan Perkeso dalam tempoh dua tahun ini.

"Pertama, peningkatan kadar manfaat pencarum sebanyak 20 peratus, yang memberi lebih banyak bantuan kepada pekerja hilang upaya atau meninggal dunia akibat kemalangan pekerjaan.

"Kedua, kenaikan kadar faedah pengurusan jenazah daripada RM2,000 kepada RM3,000, bagi membantu meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga," katanya.

Bagi penambahbaikan ketiga, beliau memaklumkan Perkeso mempeluaskan Skim Keilatan kepada pekerja migran, membolehkan mereka menikmati perlindungan keselamatan sosial buat pertama kali di bawah skim negara.

"Keempat, pembukaan dua Pusat Rehabilitasi Perkeso baharu masing-masing di Kuala Terengganu dan Masjid Tanah, Melaka, selain menaik taraf pusat sedia ada di Ayer Keroh.

"Kelima, pelaksanaan kemudahan rawatan tanpa bayaran pendahuluan di lebih 1,400 klinik panel Perkeso seluruh negara, di mana pencarum kini hanya perlu menunjukkan kad pengenalan untuk mendapatkan rawatan.

“Dulu pencarum kena bayar dulu dan tuntut semula. Sekarang hanya tunjuk MyKad, dapat rawatan percuma, bayar seringgit saja,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkeso bayar lebih RM5.82 bilion faedah kepada pencarum pada 2024

Keenam pula katanya, pengurangan tempoh kelulusan bantuan dialisis daripada 40 hari kepada hanya tujuh hari, manakala tempoh pengeluaran surat jaminan hospital (GL) kini hanya mengambil masa 24 jam berbanding tiga hari sebelum ini.

"Ketujuh, peningkatan kadar subsidi rawatan dialisis daripada RM150 kepada RM170 bagi setiap sesi, sekali gus memberi tambahan purata RM280 sebulan kepada pesakit.

"Kelapan, pengenalan perlindungan 24 jam kepada semua pencarum, yang akan dilaksanakan selepas pindaan undang-undang diluluskan di Parlimen," katanya.

Steven Sim menjelaskan selepas pindaan tersebut diluluskan, kemalangan yang berlaku pada bila-bila masa termasuk di luar waktu kerja akan dilindungi sepenuhnya. 

"Kesembilan, penambahbaikan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dengan kenaikan elaun pencari kerja dan latihan kemahiran, serta pengenalan Elaun Mobiliti sebanyak RM1,000 bagi mereka yang menerima tawaran kerja lebih 100 kilometer dari tempat tinggal asal.

“Contohnya, kalau orang Perlis dapat kerja di Bayan Lepas, Pulau Pinang lebih 100 kilometer, Perkeso akan bayar elaun mobiliti RM1,000,” katanya.

Yang terakhir, beliau berkata pelaksanaan Akta Pekerja Gig yang memperkenalkan perlindungan sosial kepada pekerja ekonomi gig, termasuk penunggang penghantaran dan pekerja bebas dalam sektor media.

Sementara itu, Majlis Anugerah Media Perkeso 2025 diadakan bagi mengiktiraf peranan media dalam memperkukuh kesedaran keselamatan sosial dan sokongan terhadap inisiatif Perkeso.

Lebih 100 penyertaan daripada pelbagai organisasi media diterima bagi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan tahun ini.

Artikel Lain