SEORANG wanita dipercayai pelancong dari India dlihat memarahi staf restoran makanan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mendakwa diberikan burger bukan jenis vegetarian dalam kejadian pada Selasa.
Berdasarkan perkongsian video berdurasi 36 saat di TikTok [Tonton Video], saksi kejadian mendakwa wanita itu kelihatan kecewa dan mencampak burger ke lantai sebelum memarahi pekerja.
Wanita itu mendakwa dia telah memesan burger vegetarian seperti yang sering dinikmatinya di rangkaian restoran sama di India, tetapi diberikan burger yang lain di sini.
“Saya dari India, macam mana boleh jadi begini?” katanya dengan nada marah.
“Saya tahu, puan dari India,” jawab staf restoran itu dengan tenang.
Perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata menegaskan di Malaysia, restoran makanan segera itu tidak menyediakan menu vegetarian sepenuhnya seperti di India.
Mereka berkata pelanggan tersebut sepatutnya memeriksa dahulu sebelum membuat pesanan.
"Sepatutnya periksa dulu sebelum order. Kita kalau pergi luar pun akan periksa status makanan walaupun kedai tu ada kat tempat kita.
"Wanita ini datang dari India dan dia sangka menu yang sama ada di Malaysia.
"Ada jual ke burger vegetarian? Tak pernah dengar pun," antara komen netizen.
Setakat ini, rangkaian restoran makanan segera itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.


