SEORANG ibu kepada tujuh anak mendedahkan pengalaman hidup yang penuh liku selepas suaminya berlaku curang dengan seorang janda.
Lebih menyakitkan, suaminya menghamilkan wanita terbabit ketika dia berpantang selepas bersalin anak bongsu, yang mana sebelum itu mereka sudah melakukan zina.
Dia bagaimanapun mengakui telah cuba menyelamatkan rumah tangga yang dibina lebih 10 tahun itu dengan menerima poligami.
Wanita ini menganggap setiap manusia melakukan kesalahan begitu juga suaminya yang curang sehingga terlanjur dengan perempuan lain yang dikenalinya di pusat snuker.
"Aku bawa 'penyondol' tidur sekatil dengan aku sebab rumah kami dua bilik je. Aku bawa pergi check up sebab tak kahwin lagi.
"Aku cakap kat doktor, dia madu saya. Nak tengok perut dia dah mengandung. Sampai doktor kata baiknya awak bawa madu pergi check up.
"Aku hanya senyum sinis melihat anak dalam perut perempuan lain," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Namun, segala pengorbanannya sia-sia apabila suami terus tinggal bersama wanita berkenaan tanpa ikatan sah serta mengabaikan tanggungjawab terhadap tujuh anaknya.
Melihat sikap suami yang masih tidak berubah, wanita itu membatalkan hasrat untuk berpoligami.
"Aku diceraikan saat batalkan poligami. Jadi mereka berdua tak boleh kahwin. Aku dituduh sengaja nak berlaku zalim pada mereka kerana tak boleh bin kan anak nama lelaki tersebut.
"Aku dipukul teruk. Dicekik, dibaling, terajang. Kemudian dia kata aku yang provoke dia kerana aku nak kelur rumah," dakwanya.
Tambahnya, dia pernah menyerahkan hak penjagaan anak-anak kepada bekas suami, namun selepas mengetahui mereka diabaikan dia menuntut semula hak penjagaan penuh.
"Kenapa aku ambil semua anak? Sebab dia tinggalkan lima anak aku di rumah, anak sulung 10 tahun urus adik-adik dengan cuci, gosok baju. Dia pula malam-malam ke snooker.
"Aku kerap trace location untuk simpan sebagai bukti pengabaian anak-anak. Perempuan tu tak kahwin lagi 'simpan' serumah, bagi anak-anak tengok dia 'simpan' perempuan. Baik aku ambil anak daripada mereka 'rosak'," dakwanya.
Dia bagaimanapun tidak menyatakan bila kejadian tersebut malah tidak berkongsi butiran lain.
Namun begitu dia amat bersyukur kerana mempunyai mentua yang memahami dan mengakui kehidupannya semakin baik kini serta dikelilingi individu positif.


