SEORANG pakar bius dihukum penjara selama 18 bulan susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang diberikan dos ubat penenang berlebihan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital universiti di Tokyo, Jepun.Mahkamah Daerah Tokyo pada Jumaat menjatuhkan hukuman tersebut yang ditangguhkan selama tiga tahun terhadap tertuduh, Toru Kotani, 66, atas kesalahan kecuaian profesional sehingga mengakibatkan kematian pesakit. Bagaimanapun, seorang lagi pakar bius yang turut didakwa dalam kes sama, Satoshi Fukuda, 44, dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.Menurut pihak pendakwaan, kedua-dua doktor terbabit didakwa memberikan dos berlebihan ubat penenang jenis propofol kepada mangsa selepas kanak-kanak itu menjalani pembedahan leher pada 18 Februari 2014.Siasatan mendapati penggunaan propofol terhadap kanak-kanak yang memerlukan bantuan alat pernafasan buatan pada kebiasaannya tidak digalakkan kerana risiko kesan sampingan yang serius.Tertuduh bertanggungjawab mengendalikan unit rawatan rapi hospital itu didakwa membuat keputusan menggunakan ubat berkenaan terhadap mangsa tanpa menjelaskan perkara tersebut kepada ahli keluarganya.Laporan panel siasatan bebas yang ditubuhkan hospital turut mendapati tindakan itu dibuat bagi mengelakkan tiub alat bantuan pernafasan tercabut daripada badan kanak-kanak terbabit.Menurut laporan sama, mangsa menerima dos propofol bersamaan 2.7 kali ganda daripada kadar yang sesuai untuk seorang dewasa dalam tempoh kira-kira 70 jam sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian akibat kesan sampingan ubat tersebut.Sebelum ini, polis merujuk enam doktor kepada pihak pendakwa raya berhubung kes berkenaan, namun hanya Kotani dan Fukuda didakwa kerana dianggap memikul tanggungjawab lebih besar dalam insiden yang meragut nyawa kanak-kanak tersebut. -Agensi