SEORANG bayi lelaki berusia 18 bulan maut dipercayai akibat didera ibu dan teman lelakinya. Berdasarkan laporan, mangsa, Arshid, meninggal dunia pada Jumaat lalu kesan daripada pelbagai kecederaan terdapat pada tubuhnya. Kejadian dilaporkan berlaku di India.Susulan itu, polis pada Ahad menahan ibu mangsa dikenali sebagai Akhila serta pasangannya, Ashkar, selepas keputusan bedah siasat menemukan banyak kesan kecederaan pada badan kanak-kanak tersebut.Dalam keterangannya kepada polis, Ashkar mendakwa kanak-kanak itu tiba-tiba batuk selepas makan sebelum muntah melalui mulut dan hidung.Dia mendakwa mangsa kemudiannya menjadi lemah serta tidak sedarkan diri sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital berhampiran.Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital SAT di Thiruvananthapuram, namun doktor mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia kira-kira pukul 6.08 petang.Tambah polis, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak kesan kecederaan lama yang telah sembuh pada tubuh mangsa, sekali gus menimbulkan syak wasangka berhubung kemungkinan penderaan berpanjangan.Polis memulakan siasatan terhadap pasangan tersebut selepas datuk dan nenek mangsa menyatakan kebimbangan kedua-dua suspek mungkin bertanggungjawab terhadap kecederaan dialami.Tidak hanya itu, nenek sebelah ibu mangsa turut mendakwa cucunya tidak mempunyai sebarang kecederaan ketika dibawa keluar dari rumahnya."Dia tiada sebarang kecederaan ketika dibawa pergi dari rumah saya tetapi saya lihat banyak kecederaan pada seluruh badannya," dakwanya sambil menahan sebak dalam satu temu bual dengan media tempatan.Terdahulu, polis memaklumkan bapa kandung mangsa telah meninggal dunia sebelum kanak-kanak itu dilahirkan. -Agensi