LAZIMNYA, golongan isteri yang akan 'menyerang' wanita yang dipercayai menjadi orang ketiga dan menganggu rumah tangga mereka.Namun situasi yang berlaku di Pinrang, Sulawesi Selatan, Indonesia ternyata berbeza apabila seorang wanita bertindak menyerbu kediaman isteri kepada kekasihnya. Insiden luar biasa pada petang Jumaat itu menjadi perhatian penduduk setempat apabila pertengkaran antara kedua-dua pihak bertukar menjadi pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan polis.Berdasarkan laporan, situasi menjadi semakin tegang apabila anak lelaki kepada wanita yang didakwa sebagai kekasih lelaki berkenaan turut memasuki rumah dan berdepan dengan teman lelaki ibunya.Pertelingkahan mulut yang tercetus antara mereka akhirnya bertukar menjadi pergaduhan fizikal yang ganas, dengan kedua-dua belah pihak saling mendakwa diri mereka telah diserang.Penduduk yang menyaksikan insiden tersebut segera menghubungi polis bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.Menurut Pegawai Polis Komuniti Maccorawalie, Aipda Muhammad Jabir, pihaknya menerima laporan mengenai pergaduhan tersebut."Ya, betul. Penduduk menghubungi kami untuk melaporkan kejadian itu," katanya.Susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum berjaya mengawal keadaan yang tegang dan membawa kesemua individu terlibat ke Ibu Pejabat Polis Pinrang untuk siasatan lanjut.Menurut Jabir, kedua-dua pihak kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.Isteri pertama dilaporkan membuat aduan terhadap suaminya berhubung dakwaan perkahwinan yang tidak didaftarkan, manakala wanita kedua pula membuat laporan berkaitan dakwaan serangan terhadap dirinya.Polis memaklumkan mereka akan bersikap neutral dan menyiasat setiap laporan yang dibuat mengikut prosedur ditetapkan.Walau bagaimanapun, siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu isteri pertama selepas suaminya didakwa menjalinkan hubungan dengan wanita lain.Kes berkenaan kini dikendalikan oleh Unit Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Pinrang. -Agensi