SEORANG lelaki sempat meninggalkan pesanan menyayat hati buat anak perempuannya sebelum dia ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Gandhinagar, India.Mangsa, Pankaj Bhansali, 42, dipercayai bertindak menamatkan riwayatnya sendiri selepas berdepan tekanan kewangan yang serius akibat kehilangan pekerjaan dan kerugian besar dalam pasaran saham. Dia dipercayai meninggalkan satu nota amaran di pintu utama rumah bagi mengelakkan ahli keluarganya terdedah kepada bahan beracun yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut."Jangan masuk ke dalam rumah. Jangan minum air di dalam rumah, ada racun di dalam," demikian antara kandungan nota yang ditinggalkan mangsa.Berdasarkan laporan, siasatan awal mendapati Bhansali yang berasal dari Mumbai dan menetap di kawasan Kudasan, Gandhinagar, dipercayai menelan racun jenis Celphos ketika bersendirian di rumah.Difahamkan, isteri dan anak perempuannya berada di rumah keluarga mentua sejak 23 Mei lalu, manakala kali terakhir isterinya berhubung dengannya adalah sehari sebelum kejadian berlaku.Isteri mangsa kemudiannya pulang bersama anak perempuan mereka dan abang mangsa untuk memeriksa keadaan di rumah selepas mendapati panggilan telefon tidak dapat dilakukan.Sebaik pintu dibuka, mereka menjumpai mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di dalam kediaman tersebut.Menurut polis, mayat mangsa dipercayai berada di dalam rumah hampir lima hari sebelum ditemukan.Keadaan mayat dilaporkan membengkak dan bertukar kehitaman akibat kesan bahan toksik yang ditelan.Hasil siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini bekerja di sebuah syarikat berkaitan pasaran saham di Gandhinagar Infocity.Namun, dia dipercayai kehilangan pekerjaan kira-kira lima bulan lalu dan pada masa sama mengalami kerugian besar dalam pelaburan saham sehingga dibelenggu hutang yang semakin meningkat.Pihak berkuasa percaya gabungan tekanan akibat pengangguran, beban hutang serta masalah kewangan yang berpanjangan menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi serius.Polis yang tiba di lokasi turut menjumpai racun Celphos di dalam rumah sebelum membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan kronologi kejadian.Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. -Agensi