RANGKAIAN minuman popular, Zus Coffee sedang menjalankan siasatan menyeluruh susulan insiden melibatkan salah seorang pekerjanya dengan pelanggan, dipercayai dari China, pada Ahad.
Menerusi kenyataan rasmi, Zus Coffee berkata pihaknya 'tidak akan bertolak ansur dengan sebarang sikap atau perilaku yang tidak menghormati' komunitinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Staf rangkaian kopi popular dimaki, disimbah minuman panas oleh pelanggan didakwa dari China
"Kami telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi Zurista (staf di Zus) kami.
"Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah, dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia mencuba yang terbaik," demikian kenyataan Zus Coffee, Isnin.
Dalam pada itu, Zus Coffee turut mengesahkan bahawa kakitangan yang terlibat sedang berehat selepas insiden berkenaan tular.

Kenyataan rasmi Zus Coffee pada Isnin.
"Kami menggesa semua pihak untuk menghormati privasi mereka yang terlibat dan mengelakkan diri daripada berkongsi atau menyiarkan semula video yang menunjukkan individu terlibat tanpa kebenaran.
"Serta mengelakkan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil
"Kami berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa, sementara kami meneliti perkara ini dengan penuh perhatian.
"Kami akan terus komited bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua," ujarnya lagi.
Terdahulu, satu klip video memaparkan seorang staf wanita Zus Coffee disimbah minuman panas oleh seorang pelanggan ketika berada di hadapan kaunter, tular di laman sosial.
Menerusi video berkenaan, dapat dilihat situasi tegang berlaku di antara staf tersebut dengan pelanggan wanita dipercayai dari China yang turut mengeluarkan kata-kata kesat.
Pengguna media sosial mendesak agar Zus Coffee tampil mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi pekerjanya daripada dibuli pelanggan.


