suria

[V] Keluarga mangsa kemalangan bas di Gerik sayu terima ijazah Anumerta - “Kami bangga dengan kamu dik”

Ibu bapa kepada Allahyarham Fatin Nasrien (kiri) dan bapa kepada Allahyarham Nurly Sahirah menerima Ijazah Anumerta.

SUASANA penuh emosi menyelubungi Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-27 di Tanjung Malim, Perak pada Selasa apabila dua nama pelajar yang maut dalam kemalangan bas pada 9 Jun lalu disebut dalam istiadat itu.

Allahyarham Nurly Shahirah Azman dan Fatin Nasrien Fadli terkorban dalam kemalangan bas di Lebuhraya Timur–Barat berhampiran Tasik Banding di Gerik, yang turut meragut 13 nyawa mahasiswa lain.

Menerusi perkongsian abang kepada Nurly Shahirah iaitu Najmuddin di TikTok [Tonton Video], dia mengakui walaupun masih bersedih, mereka sekeluarga tetap menguatkan diri untuk hadir dan berbangga dengan pencapaian arwah.

"Terima kasih kepada yang telah mendoakan arwah adik kami. Walaupun langkah abah dan umi lemah tetapi kuatkan juga kerana ini semua hasil usaha adik sehingga akhir hayat. Kami bangga dengan kamu dik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik, sekurang-kurangnya 15 maut

Sementara itu sahabat rapat kepada Fatin Nasrien yang dikenali sebagai Cutiebeann8 juga menerusi TikTok [Tonton Video] tidak dapat menahan rasa pilu melihat kejayaan arwah.

"Hari ini kami melangkah dengan air mata yang tertahan kerana impianmu akhirnya menjadi nyata. 

"Andai kau masih di sini, pasti senyummu yang paling indah akan terpancar. Tenanglah di sana Fatin Nasrien Fadli," katanya.

Berdasarkan perkongsian lain, suasana di dewan kelihatan sayu apabila ibu bapa kedua-dua pelajar itu berjalan ke pentas dengan wajah menahan sebak untuk menerima ijazah anugerah (Anumerta).

Ijazah anugerah (Anumerta) itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, kepada bapa Nurly Shahirah, Azman Mohamad, dan bapa Fatin Nasrien, Fadli Abd Rahman.

Untuk makluman, ijazah anumerta adalah ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar selepas kematian, terutamanya jika mereka meninggal dunia sebelum berjaya menamatkan pengajian.

Artikel Lain