SERAMAI 15 individu dilaporkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi Isnin.
Bas terbabit dipercayai membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Keadaan Perodua Alza selepas pelanggaran berlaku.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 pagi.
Pasukan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 2.11 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI terbalik setelah bertembung dengan MPV Perodua Alza.
Dalam pada itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan berhubung kemalangan yang berlaku.
"UPSI telah menerima laporan awal mengenai satu kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar dalam sebuah bas persiaran yang dilaporkan berlaku di kawasan Gerik, Perak.
"Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara tersebut.
"Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar urusan ini dipermudahkan," ujarnya menerusi siaran Facebook.
Tambah kenyataan itu, pihak UPSI sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris.