suria

Hampir 20kg daging siap dipotong terbiar di kawasan pembuangan sampah - “Tergamaknya buang tanpa tanam”

Longgokan daging dipercayai daging korban yang dibiarkan di kawasan pembuangan sampah. -Foto TikTok @Hanissz

AIDILADHA sepatutnya menjadi saat untuk kita memperingati erti sebuah pengorbanan, keikhlasan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Namun suasana mulia itu sedikit tercalar apabila tular satu video memaparkan longgokan daging korban yang didakwa dibuang di kawasan pembuangan sampah.

Video berkenaan dikongsi seorang pelayar TikTok sambil meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap sikap lepas tangan segelintir pihak yang dianggap tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan daging korban.

Salah satu tujuan ibadah korban adalah berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. -Gambar hiasan

"Daging korban dibuang petang ini (Ahad) lebih 20 kilogram (kg). Tergamaknya buang begitu sahaja tanpa tanam atau sebagainya," tulis pemilik akaun @Hanissz di ruangan kapsyen.

Kejadian berkenaan dikatakan berlaku di Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor.

"Siapa yang tergamak buat sebegini? Sumpah sebak rasa hati tengok benda ni terjadi. Bukan sikit… banyak," tulisnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Longgok perut lembu penuh tahi tepi tong sampah, penduduk terkejut ada orang tak reti urus haiwan korban... Busuk siap berulat!

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf saya menangis” - Pemuda Cina pertama kali tengok ibadah korban gagal tahan sebak, puas hati dapat belajar ilmu baharu

Menerusi video berdurasi 12 saat yang dimuat naik pelayar berkenaan pada Ahad malam, kelihatan daging yang sudah dipotong dalam saiz kecil dan masih berwarna merah dilonggok di atas tanah di kawasan pembuangan sampah.

Tanpa dimasukkan ke dalam bekas atau plastik, daging berkenaan hanya dibiarkan terbuka begitu sahaja sekali gus menimbulkan tanda tanya warga maya.

Tak beradab betul… setengah orang ada yang tak dapat daging korban.

NETIZEN

Di ruangan komen, netizen tampil meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk pembaziran serta mencemari makna sebenar ibadah korban.

"Tak beradab betul… setengah orang ada yang tak dapat daging korban.

"Masya-Allah sayangnya. Kenapa dibuang?

Reaksi netizen yang turut kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang berkenaan.

"Allah... kenapalah tak tanam?" demikian antara komen netizen. 

Dalam pada itu, ada netizen berpendapat pihak yang berkenaan pasti mempunyai alasan sebelum bertindak sedemikian. 

Hingga kini video berkenaan meraih lebih 557,000 jumlah tontonan di TikTok.

Artikel Lain