suria

Tular isteri terjun keluar dari kereta elak pasangan kaki pukul, suami ditahan reman

Tangkap layar rakaman video yang tular membabitkan pasangan suami isteri terbabit.

SEORANG lelaki direman dua hari, bermula Khamis bagi membantu siasatan insiden seorang wanita terjun dari sebuah kereta yang masih bergerak.

Penahanannya dibuat susulan rakaman video kamera pemuka kenderaan (dashcam) yang tular memaparkan seorang wanita membuka pintu bahagian penumpang sebelum terjun ke jalan raya lalu dikejar seorang lelaki.

Malah kedengaran wanita terbabit menjerit meminta pertolongan beberapa kali.

Kejadian dilaporkan berlaku di lampu isyarat simpang empat berhampiran Mahkamah Sungai Petani, Kedah pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sejurus video berdurasi 19 saat itu tular, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita yang mengaku kejadian itu membabitkan dirinya dan suami.

"Wanita itu mendakwa dia telah dipaksa menaiki kereta suaminya semasa mereka terserempak di sebuah stesen minyak di Bedong pada pukul 6 petang semalam.

"Ia bagi membincangkan mengenai kemelut rumah tangga mereka. 

"Wanita itu mendakwa mereka tidak tinggal serumah sejak sebulan lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pasangan yang sering memukulnya," katanya pada Khamis.

Menurut Hanyan, pihaknya kemudian menahan suami wanita berkenaan di sebuah rumah di daerah Kuala Muda pada pukul 8.40 malam hari yang sama.

Menurutnya, lelaki berusia 31 tahun dan merupakan seorang penganggur direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Difahamkan, pasangan terbabit berkahwin pada Oktober tahun lalu.

Artikel Lain