SEORANG lelaki meraih perhatian ramai apabila meminta jasa baik netizen menyunting gambarnya bersama anak lelaki untuk digabungkan dengan foto arwah isterinya sebagai kenangan.
Lelaki yang dikenali sebagai Alif itu membuat permintaan tersebut di grup Facebook, Edit Apa Hari Ini pada Isnin.
"Minta jasa baik pakar IT untuk edit gambar bagi jadi satu. Wife dah meninggal waktu anak umur setahun.
"Nak buat kenangan untuk tunjuk dekat anak. Jasa baik anda amat dihargai," katanya.
Namun di sebalik permintaan itu, terselit kisah memilukan mengenai detik pemergian isterinya yang dikenali sebagai Masitah.
Antara hasil suntingan netizen.
Menurut Alif, arwah meninggal dunia pada Mac 2023 di rumah ketika dia keluar bekerja dan meninggalkan anak kecil mereka yang masih menyusu.
"Arwah meninggal dunia kerana kanser. Sebelum itu doktor minta gugurkan kandungan tapi arwah tak nak. Jadi tak boleh buat kemoterapi.
"Waktu arwah meninggal hanya mereka berdua di rumah dan saya bekerja. Anak saya waktu tu berumur setahun. Dia berada enam jam dengan arwah yang dah meninggal.
"Jiran-jiran cakap anak tak menangis langsung. Saya buka pintu nampak anak sedang menyusu badan arwah yang dah meninggal," katanya di ruangan komen.
Alif ketika dihubungi mStar mengesahkan perkongsian tersebut.
"Niat nak minta netizen edit ja, tak sangka viral. Harap perkongsian saya dapat dijadikan pengajaran untuk setiap pasangan agar saling menghargai antara satu sama lain," katanya.


